Selasa, 22 Januari 2013

Saham Felda menjunam, tuntut Umno BN bertanggungjawab

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Sejak disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) 28 Jun lalu, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Terbaharu, saham FGVH dilaporkan menjunam mengikut Indeks Komposit Kuala Lumpur semalam dan akhirnya tutup di bawah harga IPO pada RM4.42 semalam.

Ini adalah julung kalinya FGVH ditutup di bawah harga IPO walaupun sebelum ini pernah mencecah ke paras RM4.52 dalam dagangan harian.

Semalam, FGV juga merekodkan harga terendah RM4.36 sebelum ditutup pada RM4.42. Kejatuhan ini menyebabkan para peneroka dan lain-lain pelabur rugi besar.

Mengulas isu ini, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said mendesak pemimpin Umno BN dan Felda bertanggungjawab atas kerugian tersebut.



“Isa Samad, Ahmad Maslan dan Najib Razak mesti bertanggungjawab. Mereka gagal memahami kerisauan peneroka, sekaligus membuktikan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ gagal,” katanya keyika dihubungi.

“Pakatan Rakyat memberi amaran tentang kerugian ini sebelum FGVH disenaraikan, tetapi Umno BN anggap ingatan Pakatan hanya bermotif politik.

“Kerugian ini bukan sahaja mengorbankan kepentingan peneroka tetapi masa depan generasi kedua dan negara,” ujar Suhaimi.

Bagi menangani masalah ini, Suhaimi berkata, Pakatan tekad untuk memansuhkan Felda Holdings selepas memerintah di Putrajaya dan menyerahkan 850,000 ekar tanah kepada generasi kedua dan ketiga peneroka seperti dijanjikan dalam Buku Jingga.

“Ahmad Maslan dulu menempelak Pakatan kononnya pengagihan tanah Felda menyebabkan Felda hilang punca pendapatan. Sekarang adakah situasi saham FGVH memberi keuntungan kepada peneroka?” soalnya.

Beliau menggesa peneroka yang berangan-angan menjadi jutawan Felda agar melihat realiti dan berhenti bermimpi.

Tiada ulasan: