Sabtu, 12 Januari 2013

Rakyat bersama Azmin, pemimpin KEADILAN terjah KL awal pagi

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Detik keramat yang dinanti rakyat untuk bersama-sama pemimpin Pakatan Rakyat dan segenap kumpulan NGO berhimpun ke Stadium Merdeka hari ini digerakkan seawal pagi tadi.

Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali kira-kira jam 7.30 pagi bersama peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat bersarapan di ibu negara, sebelum meneruskan perjalanan ke Masjid Negara, salah satu lokasi berkumpul.

“Bersarapan pagi dengan rakyat di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum ke Masjid Negara untuk solat Zohor dan terus mara ke Stadium Merdeka,” tulis Azmin ditwitternya.

Azmin berkata, Masjid Negara adalah sejarah awal reformasi, manakala Stadium Merdeka pula lambang kebangkitan rakyat.



“Masjid Negara adalah sejarah awal reformasi. Stadium Merdeka adalah kebangkitan rakyat. Putrajaya adalah kemenangan rakyat,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Dilaporkan, perkarangan Masjid Negara mula dibanjiri peserta himpunan. Pelbagai kaum dilihat hadir di sini dengan memakai baju warna tema himpunan termasuk Hijau, Kuning, Merah dan Oren.

Sebelum itu, suasana solat Subuh di Masjid Negara bagaikan solat fardu Jumaat apabila ribuan peserta memenuhi ruang solat.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad memulakan perjalanan dari Kelana Jaya bersama rakyat setempat.

“Dengan rombongan KEADILAN Kelana Jaya ke #KL112. Terjumpa geng Pemuda PAS Kelana Jaya dan Royalti,” katanya pada twitter.

Rombongan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) diketuai Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama kira-kira 300 anggota berkumpul di Padang Timur, Amcorp Mall, Petaling Jaya, sebelum menuju ke stadium.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua yang bakal turun bila-bila masa menyeru dalam twitternya pagi ini supaya rakyat ke HKR untuk mengubah pentadbiran negara yang korup.

“Salam #KL112: Rakan-rakan sepejuang, ini harilah, ini kalilah! Anda penentu masa depan negara!,” kata Ahli Parlimen Batu itu.

Tiada ulasan: