Ahad, 13 Januari 2013

PoliTweet ramal 150,000 sertai perhimpunan semalam


Rakyat mengisi Stadium Merdeka semasa Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari 2012. — Gambar Choo Choy May
 
KUALA LUMPUR — Jumlah peserta yang menyertai perhimpunan “Himpunan Kebangkitan Rakyat” anjuran pembangkang semalam di Stadium Merdeka mungkin mencecah 150,000, menurut badan kajian bebas online PoliTweet.org hari ini selepas penyelidikan awal mereka. 
 
PoliTweet.org yang menjejak penggunaan laman sosial media dalam lapangan politik di Malaysia menulis dilaman Facebook mereka anggaran tersebut dibuat berdasarkan gambar dalam perhimpunan oleh media dan yang dikongsi oleh online netizens.

Laporan mereka menyatakan berdasarkan bukti visual daripada gambar, peserta yang hadir meliputi hampir 40,000 meter persegi dalam stadium (tidak termasuk yang berdiri ditangga) dan dikawasan sekeliling luar lokasi perhimpunan.

Peserta di luar Stadium Merdeka.
“Kepadatan kawasan berbeza, tetapi jika anda mengambil purata 3.5-4 kaki persegi setiap orang, jumlahnya adalah 106037-121185 peserta di luar stadium.
 “Ini termasuk dengan kapasiti 30 ribu yang dilaporkan berada dalam stadium, saiz orang yang dianggarkan ialah: 136037-151185 orang,” lapor agensi penyelidikan dalam artikelnya yang termasuk dengan gambar kawasan sekitar di Stadium Merdeka.

“Setiap kawasan dinilai berasingan untuk menentukan jumlah kepadatan orang ramai yang tepat. Tapi angka ini akan disemak semula pada hujung minggu ini,” tambah PoliTweet.org tersebut.

Semalam, polis telah mengurangkan jangkaan awal mereka tentang jumlah kehadiran peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat dari 80,000 ke 45,000 orang, di dalam dan di luar Stadium Merdeka.

Namun, penganjur dan Pakatan Rakyat (PR) mengatakan jumlah peserta mencecah 500,000 menghadiri perhimpunan raksasa tersebut serta mendakwa ia adalah terbesar diadakan di ibu kota.

Pada Mei tahun lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim menganggarkan 22,270 orang hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0 berdasarkan gambar dari Bernama dengan menggunakan sistem blok komunikasi.

Pada bulan Julai 2011, pasukan polis menganggarkan antara 5,000 hingga 6,000 peserta menghadiri perhimpunan Bersih 2.0, tetapi kebanyakan media melaporkan hampir 20,000 peserta. Penganjur Bersih menganggarkan kira-kira 50,000 orang hadir ke perhimpunan itu.

Himpunan Kebangkitan Rakyat di ibu kota berakhir petang ini dengan ikrar oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan mempunyai toleransi sifar terhadap rasuah atau apa-apa percubaan untuk merampas kekayaan rakyat.

Perhimpunan raksasa dianjurkan oleh kedua-dua pemimpin politik dari PR dan kumpulan masyarakat sivil sebagai wadah terakhir mengenai isu-isu mereka sebelum pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan: