Rabu, 16 Januari 2013

Polis benarkan bedah siasat kedua kematian Chang

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pihak polis membenarkan bedah siasat kematian seorang tahanan polis Chang Chin Te selepas didesak oleh ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo hari ini. 
 
Menurut Pegawai Perhubungan Bukit Aman, DSP Lai Lee Ching, pihak polis akan menandatangani borang 61 untuk membenarkan bedah siasat kedua diadakan selepas hampir tiga jam menunggu keputusan dari pihak atasan polis.

"Pihak polis akan menghubungi pihak hospital untuk membenarkan bedah siasat kedua ke atas mayat Chang diadakan," kata Gobind (gambar) pada sidang media di hadapan ibu pejabat Bukit Aman, hari ini.

Sebelum itu, Gobind bersama ahli parlimen Subang, R. Sivarasa, dan Yang di-Pertua PAS Subang, Hadi Misni Dahlan serta ahli keluarga Chang berhimpun di hadapan Bukit Aman untuk menuntut bedah siasat kedua diadakan, selepas mendapati Chang dipukul semasa ditahan di Balai Polis USJ 8 pada Khamis lalu.

"Kita nampak sudah ada assault pada mangsa," kata Sivarasa.

Sementara itu, isteri mangsa, Lim Wei Ni berkata, ketika beliau melawat mayat suaminya, beliau mengambil gambar suaminya tetapi diminta pihak polis dan pegawai perubatan di hospital untuk memadamkan gambar suaminya di dalam telefon bimbitnya.

"Saya lihat ada lebam-lebam di muka dan di dada.

"Saya ambil gambar suami saya, tetapi diarahkan pihak polis dan pihak perubatan untuk memadam gambar selepas saya mengambil gambar suami saya," kata Lim dalam sidang media tersebut.

Kematian dalam tahanan bukan perkara yang baru melibatkan agensi penguatkuasa di dalam negara, malahan sebelum ini Putrajaya juga sering dikritik kerana tidak bertanggungjawab dan bersikap lepas tangan dalam mengendalikan kes-kes tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa kes kematian dalam tahanan yang menyebabkan Putrajaya menerima tekanan hebat daripada orang awam antaranya kes melibatkan kematian A Kugan dalam tahanan polis dan dua kematian di bawah tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini Mohamed.

Lim, balu kepada Chang, ditemani kira-kira 30 orang penyokong pada awalnya ke Bukit Aman pada 1:30 tengah hari bagi menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk menuntut permohonan mereka untuk bedah siasat kedua dijalankan.

Tiada ulasan: