Selasa, 22 Januari 2013

Penduduk Pulau Indah Dapat Masjid Melalui Geran Selangorku


masjid Al Qayyum pulau indah 01

PELABUHAN KLANG : Masyarakat Islam di Bandar Armada Putra, Pulau Indah di sini kini tidak lagi menghadapi masalah untuk beribadat apabila surau yang mereka guna selama ini telah dinaiktaraf kepada masjid.

Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Suhaimi Mohamad Nor berkata surau tersebut telah dinaiktarafkan menjadi Masjid Al Qayyum bagi menampung keperluan penduduk di kawasan itu yang kini semakin bertambah.

“Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM 300,000 menerusi Geran Selangorku bagi membantu penduduk menyiapkan masjid itu dengan nilai keseluruhan RM 900,000.

“Kerja pembinaan dan menaiktaraf surau ini bermula pada akhir 2011 dan siap sepenuhnya pada pada akhir tahun lalu.

“Kini ia mampu menampung jemaah hampir 600 orang dalam satu masa berbanding sebelumnya hanya 300 orang,” katanya.

Suhaimi berkata, pihaknya kini sedang dalam proses menyiapkan laluan masuk ke masjid itu.

“Kita membina jalan itu menerusi peruntukan disalurkan Kerajaan Negeri kepada Pusat Khidmat DUN. Anggaran kos pembinaan jalan raya itu adalah kira-kira RM 20,000,” katanya.

Pengerusi Surau Al Qayyum, Saiful Izan Mohd Isa berkata, perancangan membina masjid di situ diusahakan kariah surau bagi menampung jumlah jemah yang kian bertambah.

“Kita merakamkan terima kasih kepada semua termasuk Kerajaan Negeri yang prihatin akan perkara ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: