Khamis, 10 Januari 2013

Pembangkang M’sia dinafi liputan bersih & adil – J/K Pemerhati Muslim Amerika

Oleh Aedi Asri

SUBANG : Pembangkang Malaysia dinafi mendapat liputan adil dan bersih di saluran media kerajaan, menurut  wakil Jawatankuasa Pemerhati Pilihan Raya Muslim Amerika, Dr Inayat Malik.

Sedangkan katanya, kebebasan media merupakan isu terbesar yang perlu diberi perhatian bagi menjamin pilihan raya bersih dan adil.

Tegas Inayat, sangat penting untuk semua parti politik memiliki akses yang bebas dan adil kepada media penyiaran dan bercetak.



“Kami perhatikan di Malaysia, parti pembangkang dinafikan liputan yang adil di media penyiaran dan bercetak arus perdana.

“Media (arus perdana) hanya cerminkan satu sudut pandang. Sudut pandang berbeza sangat kurang…Pandangan berlawanan harus diberi peluang untuk disuarakan,” kata Pengerusi Bersama Dialog Antara Agama, Islamic Society of North America (ISNA) itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan hasil misi pencarian fakta berkaitan reformasi dan penambahbaikan sistem pilihan raya di Malaysia, di sebuah hotel di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Inayat bersama dua lagi wakil lain dalam lawatan ke Malaysia bagi memerhati proses pilihan raya Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

Menurutnya, mana-mana pihak wajib melakukan sesuatu untuk memastikan media bebas.

“Mungkin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menteri atau pemerintah…(Yang penting) mana-mana pihak perlu buat sesuatu,” kata Inayat.

ISNA yang ditubuhkan pada 1982 adalah organisasi masyarakat Muslim terbesar di Amerika Utara.
Wakil lain yang turut ke negara ini adalah Ahli Jawatankuasa Pilihan Raya dan Demokrasi ISNA, Dr Mirza Baig dan Konsul ISNA, Mazen Asbahi.

Perkara lain yang turut menjadi perhatian mereka adalah tahap integriti daftar pengundi SPR dan peranan kerajaan untuk menjamin keadilan dan menghalang salah guna jentera kerajaan sepanjang tempoh pilihan raya.

Tiada ulasan: