Isnin, 14 Januari 2013

Pas Pusat tidak bincang isu kalimah ALLAH

Wartawan Sinar Harian

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub 
 
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tidak membincangkan isu kalimah ALLAH yang menjadi kontroversi akhir-akhir ini dalam mesyuaratnya semalam, demikian kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub.

Namun Salahuddin berkata, beliau tidak mengetahui sama ada isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura yang dijadualkan diadakan pada jam 11 malam.

Menurutnya, antara inti pati dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat adalah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan memperkemaskan seluruh kekuatan di semua peringkat terutamanya akar umbi.

“Kita juga merancang pelbagai program untuk menyemarakkan semangat rakyat seperti mana yang ditunjukkan oleh mereka pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat (KL112),” katanya, semalam.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, mesyuarat yang bermula jam 10.00 pagi itu juga membincangkan strategi yang tepat untuk meneruskan sokongan rakyat kepada parti yang memperjuangkan Islam itu.

Mengulas pemberitaan seimbang oleh akhbar Sinar Harian berkaitan himpunan di Stadium Merdeka semalam, beliau berkata:

“Kita mendapati perhimpunan tersebut positif. Terima kasih kepada Sinar Harian yang memberikan liputan adil, bertanggungjawab dan berharap ia akan menjadi ikutan media lain dalam melaporkan Salahuddin berita yang sebenar.”

Tiada ulasan: