Rabu, 9 Januari 2013

Pakatan pecah tembok Johor tawan Putrajaya – Jui Meng

KEADILAN DAILY

JOHOR BAHRU: Pakatan Rakyat (Pakatan) bakal gempur tembok Johor untuk ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), kata Pengerusi KEADILAN Negeri, Datuk Chua Jui Meng.

Menurutnya, satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) diadakan hujung minggu lalu untuk meneliti jentera pilihan raya bagi memenangi PRU 13.

Beliau percaya, KEADILAN boleh bantu kemenangan Pakatan menawan negeri kubu kuat Umno itu dan membentuk kerajaan Pusat.

Jui Meng (duduk tengah) bersama (duduk dari kiri) Mohd Khuzzan, Tan Yen Ming, Steven Choong, Dr Ahmad Faidhi, Hassan Karim, Syed Hamid Ali, Saadon, Willham Siau dan pemimpin KEADILAN Johor ucap Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat.

“Berdasarkan maklumat sedia ada, Pakatan Rakyat akan memenangi cukup kerusi Parlimen sekaligus tawan Putrajaya,” kata Naib Presiden KEADILAN itu kepada Keadilan Daily.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung merangkap Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri, Steven Choong berharap rakyat buat pilihan tepat untuk menentukan jaminan masa depan.

“Bagi rakyat Malaysia, ini kalilah pilihan raya yang tidak boleh diabaikan. Setiap undi akan menentukan masa depan kita dan generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru para pengundi keluar awal pada hari mengundi untuk mengelakkan kecurangan pilihan raya.

“Jika kadar pengundi keluar mengundi boleh sampai 90 peratus, manakala pengundi yang bekerja di luar bandar turut balik mengundi, ia akan mengurangkan kesan kecurangan pilihan raya,” katanya.

Hadir sama, Ahli Majlis Pimpinan Pusat merangkap Ketua Penerangan Negeri, Syed Hamid Ali; Timbalan Pengerusi Negeri, Dr Ahmad Faidhi Saidi; tiga Naib Pengerusi Negeri; Hassan Abdul Karim, Liew Voon Chew dan Selva Kumaran.

Turut serta, Bendahari Negeri, Tan Poh Lai; Pengarah Strategi Negeri, Saadon Abdullah; Pengarah Biro Guaman Negeri, Jimmy Puah; Pengerusi Biro Kerajaan Tempatan Negeri, Tan Yen Ming; Setiausaha Pengelola Negeri, Zabidie Abas; Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar; Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri, Willham Siau dan Setiausaha Kerja Negeri, Yuneswaran Ramaraj.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Media KEADILAN Johor di Bandar Baru UDA, sebagai tempat rasmi untuk semua sidang media dilancarkan.

Tiada ulasan: