Oleh Dinsman |
Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Tok Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan mencadangkan satu agenda baru untuk dibuat di Kota Bharu, iaitu agenda yang belum pernah dibuat sebelumnya bagi menyambut hari mulia itu, dan agenda baru ini melibatkan artis-artis dan selebriti yang ramai menyertai parti PAS akhir-akhir ini.
Telah beberapa kali disuarakan oleh beberapa pihak mengenai artis-artis pelakon dan penyanyi yang apabila masuk PAS mereka disambut dan diraikan di sana sini, dan mereka diminta berceramah atau bersyarah di depan umum, tidak berlakon atau menyanyi, seolah-olah mereka sudah meninggalkan bidang yang bakat mereka di bidang itulah asalnya menyebabkan mereka menjadi mereka, iaitu insan seni yang dikenali dan diminati ramai.
Demikianlah selalunya. Banyak orang atau pihak yang menyuarakan atau
menyatakan tak puas hati terhadap sesuatu. Tetapi jarang ada orang atau
pihak yang mahu tampil menganjurkan atau melakukan sesuatu yang relevan
dengan apa yang disuarakan itu, termasuklah hal artis-artis yang ramai
menyertai PAS ini. Rupa-rupanya Tok Guru Nik Aziz jugalah yang tampil
dengan idea dan cadangan melakukannya.
Bagi memanfaatkan kehadiran ramai golongan artis pelakon dan penyanyi
itu, Tok Guru Nik Aziz mencadangkan supaya dilakonkan suatu kisah atau
peristiwa di zaman Nabi, dan Tok Guru Nik Aziz sendiri telah memilih
peristiwa yang difikirkannya sesuai untuk tujuan tersebut, iaitu
peristiwa menantu Rasulullah saw, Abul ‘As (yang berkahwin dengan Zainab
puteri sulung baginda) yang pada mulanya enggan menyahut seruan Islam
tetapi kemudian telah membuat kejutan di kalangan orang-orang kafir
Quraisy dengan mengisytiharkan dirinya memeluk Islam di hadapan mereka.
Mendengar rancangan ini diceritakan oleh Wan Nik (Setiausaha Politik
kepada Menteri Besar Kelantan) di Kuala Lumpur baru-baru ini, saya jadi
terharu. Tidak menduga bahawa perkara seperti ini pun harus datang
daripada ‘orang tua’ itu juga. Mengajak artis-artis berkumpul bagi
menjayakan sebuah program yang boleh ditonton oleh orang ramai. Pun
tidak ada orang lain yang boleh menggerakkannya. Mesti Tok Guru Nik Aziz
juga yang melakukannya!
Saya terharu, sangat gembira dan dalam masa yang sama berasa sedih
juga. Sangat gembira kerana Tok Guru Nik Aziz mengemukakan suatu idea
yang begitu berani dan bererti dalam dunia seni-budaya yang menjadi
bidang perjuangan saya.
Juga sangat gembira kerana saya boleh menganggapnya sebagai suatu
sokongan dan dokongan daripada Tok Guru Nik Aziz terhadap perjuangan
saya dan rakan-rakan dalam Seniman Paksi Rakyat, lebih-lebih lagi pada
waktu yang Paksi sedang berasa direndahkan oleh pihak pimpinan politik
tertentu (yang membuat keputusan semula mengurangkan bajet ke atas
keputusan yang telah dipersetujui sebelumnya).
Dan dalam masa yang sama saya berasa sedih juga kerana masih tidak ada
orang lain selain Tok Guru Nik Aziz yang mampu tampil dengan idea
seni-budaya yang begitu berani dan radikal. Sepatutnya idea yang berani
begitu datangnya daripada orang muda. Apalagi ini bidang seni-budaya,
yang menyentuh dunia artis-artis di kalangan orang muda. Di mana
perginya tenaga-tenaga muda di dalam PAS dan Pakatan Rakyat?
Tidak mengapalah. Apa pun, saya bersyukur dengan perkembangan terbaru
ini. Mengikut cerita Wan Nik, perkara ini masih di peringkat awal
perancangan. Tetapi katanya Tok Guru Nik Aziz sudah menyebut nama-nama
seperti Bob Lokman, Hairi Othman, Abby Abadi, Aishah dan beberapa orang
lagi, bahkan juga Sasterawan Negara A Samad Said, yang diharapkannya
boleh menyumbang ke arah menjayakan rancangan tersebut.
Saya tidaklah begitu teruja sangat dengan kemungkinan akan menonton
artis-artis tersebut berlakon teater. Pada tahun 80-an dulu lagi saya
sudahpun terlibat dengan artis-artis berlakon teater apabila
pelakon-pelakon asal filem “Esok Untuk Siapa” semuanya melakonkan semula
watak-watak mereka dengan cara dan gaya teater, dalam pementasan “Esok
Untuk Siapa – dari filem ke teater”.
Artis-artis yang terlibat dalam teater arahan saya waktu itu ialah Jins
Shamsuddin, Noor Kumalasari, Ogy Ahmad Daud, Latiff Ibrahim, Norizan,
Umi Kalthum dan S Romai Noor.
Sekarang apa yang menjadikan saya teruja ialah penglibatan Tok Guru Nik
Aziz itu sendiri dalam dunia teater. Seorang tokoh politik dan tokoh
ulamak. Dalam usianya yang begitu lanjut pula! Dan dia bercakap mengenai
perkara ini, perkara seni-budaya ini, pada waktu orang-orang lain
khasnya orang-orang politik tengah sibuk bercakap soal politik dan
pilihanraya umum ke-13, dan soal Pakatan Rakyat akan menawan Putra Jaya.
Ketika orang-orang yang mendakwa diri mereka sebagai tokoh-tokoh
pembawa masadepan Malaysia yang baru itu sedang sibuk dengan hal-hal
politik dan ambilalih kuasa sebuah negara, sehingga tidak ada waktu
walaupun sekejap untuk bercakap atau berbincang soal seni-budaya,
tiba-tiba Tok Guru Nik Aziz seorang yang dari kalangan tokoh-tokoh itu
juga, mengajak para artis, seniman dan budayawan untuk sama-sama bekerja
menjayakan sebuah pementasan teater, sempena sambutan Maulidur Rasul.
Oh alangkah absurdnya, dan Avant-garde sungguh! Apakah teater yang
dirancangkan itu akan menghasilkan sebuah karya yang hebat atau tidak –
itu satu soal lain. Apabila saya menceritakan perkara ini kepada Kassim
Muhamad, dia juga teruja dan bertanya bagaimana Paksi mungkin
dilibatkan? (Saya pun tak tahu).
Ya, seperti yang diceritakan oleh Wan Nik, perkara ini masih di
peringkat awal perancangan. Namun kita maklum Maulidur Rasul tarikhnya
sekitar 24 Januari. Tidaklah lama lagi. Hanya dua minggu sahaja lagi.
Mungkinkah dihasilkan sebuah “teater yang teater’ berdasarkan kepada
cerita di kalangan anggota keluarga Rasulullah saw itu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan