Jumaat, 11 Januari 2013

NGO kesal polis halang Himpunan Aman Bangkit Sabah

KEADILAN DAILY

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun telah mengeluarkan kenyataan yang melarang rakyat Sabah untuk terbabit dengan Himpunan Aman Sabah Bangkit yang akan berlangsung pada 12 Januari 2013 bertempat di Taman Chong Thien Vun pada jam 2.00 petang.

Dalam kenyataan tersebut, beliau menyatakan perhimpunan ini tidak mendapat sebarang permit daripada polis atau mana-mana jabatan yang berkaitan. Hal ini menyebabkan perhimpunan ini bersalahan dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Namun pihak penganjur iaitu Gabungan NGO menuntut hak rakyat Sabah (GEGAR), berpendirian akan meneruskan himpunan biarpun mendapat halangan daripada pihak polis.



Hal ini kerana pihak penganjur memberi jaminan bahawa perhimpunan ini akan berlangsung dengan aman dan hanya menjadi ruang untuk rakyat Sabah meluahkan pandangan kepada Kerajaan Negeri Sabah.  Pihak penganjur juga menafikan kenyataan Ketua Polis Kota Kinabalu yang mengatakan tiada permohonan dibuat oleh penganjur.

Walhal pihak penganjur telah cuba menghantar surat pemakluman dengan hadir ke Balai Bolis Karamunting pada 7 Januari namun pegawai bertugas enggan menerima suarat berkenaan.

Penganjur bagaimanapun telah menghantar surat pemakluman tersebut melalui pos pada hari yang sama kepada Balai Polis Karamunting.

Semasa hadir ke Balai Karamunting, Penganjur diminta mengisi borang yang menuntut agar penganjur memberikan butir lengkap penganjur dan program yang akan dijalankan.

Pihak GEGAR menganggap prosedur ini sebagai satu usaha yang ingin menyusahkan rakyat daripada mengamalkan hak kebebasan berhimpun.

Hal ini kerana Penganjuran Himpunan Sabah Bangkit ini adalah inisiatif rakyat yang tidak terlibat dengan mana-mana organisasi yang berkepentingan. GEGAR yakin dan percaya, rakyat berhak duduk dan bebas untuk berada di mana-mana sudut di negeri ini.

GEGAR juga berpandangan, biarpun tanpa akta ini, peserta himpunan sudah cukup matang untuk menentukan suasana perhimpunan. Namun pihak GEGAR mengalu-alukan kehadiran pihak Polis untuk menjaga dan mengawal keselamatan orang awam.

Sekali lagi GEGAR memberi jaminan bahawa himpunan ini akan berlangsung dengan aman dan tidak akan menjejaskan ketenteraman awam. Selaku penganjur, himpunan ini akan diteruskan atas dasar melaksanakan hak asasi rakyat yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sekian. Terima kasih

Yang Benar
Hariyadie Karmin
Kordinator
Gabungan NGO menuntut hak rakyat Sabah (GEGAR)

Tiada ulasan: