Rabu, 23 Januari 2013

Mansang ngelaban': PAS gempur Kota Samarahan

Harakahdaily,



(Mansang ngelaban...jerit penyokong Pakatan Rakyat Sarawak)

KOTA SAMARAHAN: Parti Islam SeMalaysia (PAS) sekali lagi menggempur Parlimen Kota Samarahan Sarawak kelmarin di dalam misinya menyampaikan mesej penerangan di samping menyalurkan maklumat terkini kepada umum.

PAS Kawasan Kota Samarahan selaku penganjur utama “Program Kebangkitan Rakyat Sarawak” itu telah berjaya mendapat perhatian dan sokongan yang jitu daripada penduduk di Samarahan.

Dua (2) program utama yang diadakan telah mendapat sambutan luar jangka daripada penduduk setempat terutamanya golongan muda di kawasan tersebut iaitu Konvoi dan Ceramah “Kebangkitan Rakyat Sarawak”.

Acara konvoi motorsikal yang diadakan pada sebelah petang telah menarik minat ratusan anak muda di sekitar Kota Samarahan.

Upacara pelepasan peserta konvoi dilakukan oleh Saudara Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (Abang Mat) yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Penyelaras Parlimen Kota Samarahan.

(Anak muda yang menyertai konvoi)

Abang Mat yang kemudiannya juga turut menyertai konvoi tersebut telah berkunjung ke enam (6) buah kampung di sekitar Parlimen Kota Samarahan bagi mempromosikan program Ceramah Kebangkitan Rakyat Sarawak yang akan diadakan pada sebelah malam selain mengedarkan Risalah 12 Tawaran PAS Sarawak.

Di sepanjang konvoi tersebut, penduduk sekitar turut memberi respon yang positif dengan melaungkan “Takbir”, “Reformasi” dan “Tumbang BN” di samping kenderaan yang lalu-lalang juga turut membunyikan hon dan tanda ibu jari “Bagus” kepada peserta konvoi.

Kondisi ini amat ditakuti oleh BN/PBB kerana peristiwa sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya merupakan tamparan yang cukup kuat kepada BN di situ dengan kemaraan dan penerimaan rakyat kepada PAS.

Peserta konvoi pada petang itu kemudiannya berhenti berehat di masjid yang berhampiran untuk solat asar berjamaah dan seterusnya bergerak ke tapak ceramah kebangkitan rakyat.

Pada malamnya pula, Ceramah Kebangkitan Rakyat diadakan di Kampung Tanjung Bundong dengan menampilkan penceramah yang terdiri daripada Haji Adam Ahid (Pesuruhjaya PAS Sarawak), Arif Ameran (PKR), ADUN Padungan Wong King Wei (DAP), Ustaz Misbahul Munir Masduki (Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak),  Datuk Seri Ir Haji Nizar Jamaluddin Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang, selain Abang Mat sendiri selaku Penyelaras Parlimen Kota Samarahan.

Kehadiran kira-kira 500 orang yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan etnik seperti Melayu, Cina dan Iban telah menunjukkan penerimaan dan sokongan masyarakat setempat terhadap PAS.

Memetik ceramah yang disampaikan Abang Mat (gambar), “Mengikut laporan yang dibentang oleh Audit Negara, Negeri Sarawak merupakan di antara negeri yang terkaya di Malaysia, namun pada masa yang sama, rakyatnya juga tergolong di dalam lingkungan “Top 5” yang termiskin malah pernah menduduki tempat kedua termiskin di Malaysia.

"Jika mengikut logik akal, sepatutnya tahap kemiskinan rakyat di Sarawak berada di tangga terbawah dalam carta, namun begitu, oleh kerana pentadbiran BN/PBB yang mengutamakan kroni maka jangan bermimpi untuk kek yang besar itu diagihkan kepada rakyat Sarawak”.

Katanya lagi, rakyat Sarawak harus menikmati pelbagai kemudahan asas, infrastruktur dan perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan negeri dan persekutuan, tetapi perkara tersebut hanyalah sebagai janji retorik atau janji pilihanraya semata-mata.

Beliau juga mengajak orang ramai untuk membuat perbandingan dengan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat yang mana pelbagai kemudahan dapat dinikmati oleh rakyat walaupun pendapatan negeri tersebut tidak seberapa.

Sebagai contoh kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS di Kelantan mampu untuk memberi sumbangan kepada waris si mati dari golongan warga emas, bantuan perkahwinan kepada anak muda, bantuan kepada ibu tunggal dan banyak lagi insentif.

Perkara ini tidak berlaku di Negeri Sarawak yang kaya raya ini. Malah katanya lagi, di Sarawak, keperluan asas seperti air bukannya kerajaan negeri hendak beri percuma, nak dapatkan air bersih pun merupakan satu kepayahan.

Masalah keperluan asas dan infrastruktur banyak disentuh oleh beliau dengan memberi contoh kepada bekalan air di Asajaya sewaktu lawatan beliau ke Kampung Tambirat, Asajaya pada bulan lepas.

“Paip-paip air sejak pilihanraya negeri tahun 2011, sampai sekarang masih bertaburan di tepi jalan. Dan sekarang selepas hampir dua (2) tahun, barulah projek pemasangan paip itu dijalankan.

"Inikah pencapaian diutamakan? Sedangkan keperluan air ini amat penting kerana ianya merupakan keperluan asas di dalam kehidupan kita seharian. Mungkin, paip yang dipasang tahun ini hanya akan boleh digunakan masa Pilihanraya Negeri Sarawak akan datang,” ujar beliaulagi.

Dalam menutup pidatonya, Abang Mat mengajak rakyat menilai prestasi Ahli Parlimen BN di Kota Samarahan yang gagal mewakili pengundinya dan gagal untuk hadir ataupun berucap di dalam parlimen untuk mengutarakan masalah di situ.

Beliau yang juga turut berucap di dalam Bahasa Iban, menyeru pengundi-pengundi di Parlimen Kota Samarahan agar berani membuat perubahan di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

(Membawa panji-panji PAS ke Kota Samarahan)

"Kita 'Mansang Ngelaban' (bangkit melawan) di dalam Pilihanraya umum kali ini," katanya yang diberi tepukan gemuruh oleh hadirin yang hadir.

Ceramah malam tadi diakhiri dengan Haji Nizar Jamaluddin yang berkongsi cerita berkenaan dengan kezaliman kerajaan BN sewaktu peristiwa rampasan kuasa di Perak.

Selain itu, beliau juga turut menceritakan kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Perak walaupun hanya bagi tempoh sebelas (11) bulan sahaja iaitu di antaranya pemberian geran tanah kepada rakyat Perak yang belum memiliki tanah tanpa mengira bangsa, agama atau pahaman politik.

Orang ramai sedikitpun tidak berganjak dari mendengar ceramah yang disampaikan sejak dari mula lagi walaupun masa sudah melewati waktu tengah malam.

Tiada ulasan: