Ahad, 13 Januari 2013

Malaysiakini jadi sasaran serangan lagi




Malaysiakini sekali lagi menjadi sasaran serangan penafian perkhidmatan (DDoS) ketika laman berita ini menyediakan liputan langsung Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur semalam.

Serangan yang dikesan bermula pada kira-kira jam 12.08 petang semalam menjejaskan laman ini selama kira-kira satu jam sebelum pasukan teknikal Malaysiakini berjaya mengatasinya.

Malaysiakini masih diserang pada petang semalam dan terpaksa memaparkan versi ringkas yang hanya menampilkan laporan langsung.

Pembaca bagaimanapun dapat mengikuti laporan lain melalui pautan yang disediakan.

Malaysiakini sebelum ini mengalami serangan sama semasa pilihan raya negeri Sarawak, perhimpunan BERSIH 2.0 pada 2011, dan juga semasa perhimpunan BERSIH 3.0 pada tahun lalu.

Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan berkata serangan berkenaan dikesan menjadi semakin canggih dan menjangka ia akan dilancarkan sekali lagi semasa pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: