Selasa, 15 Januari 2013

Maklumat terkini bekalan air di Lembah Klang

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Mesyuarat Jawatan Kuasa Pemantauan Bekalan Air Negeri Selangor pada 8 Januari 2013, bersetuju supaya Pengagihan Berjadual Air Terawat dilaksanakan oleh SYABAS bagi mengatasi masalah gangguan terutamanya ke kawasan yang sangat terjejas.

Dalam pelaksanaan Pengagihan Berjadual Air Terawat hendaklah turut dipantau bersama oleh Kerajaan Negeri Selangor. Namun pada 10 Januari 2013, SYABAS memaklumkan mesyuarat bahawa pihak Pengurusan SYABAS tidak bersetuju untuk melaksanakan Pengagihan Berjadual Air Terawat sebagaimana yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Keputusan Pengurusan SYABAS ini adalah bertentangan sama sekali dengan keputusan yang telah dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS, Dato’ Ruslan Hassan pada bulan Julai 2012 yang telah memaklumkan catuan bekalan air kepada pengguna di kawasan Sungai Besi.

Bagi mengatasi kesulitan pengguna di kawasan yang terlibat, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju supaya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka Bilik Gerakan Berpusat dengan melibatkan wakil SYABAS bagi memudahkan pemantauan dan penyelarasan dibuat ke atas pengendalian bekalan air kepada pengguna seperti jadual lori tangki, kawasan mana yang masih belum mendapat bekalan dan lain-lain perkara.

Walaubagaimanapun, SYABAS memaklumkan bahawa Pengurusan SYABAS tidak setuju untuk menghantar wakil dalam Bilik Gerakan Berpusat yang disediakan oleh MPAJ sebaliknya SYABAS diarahkan untuk membuka pusat setempat sendiri di kawasan terlibat.

Mesyuarat Jawatan Kuasa pada 11 Januari 2013 telah bersetuju supaya Perunding Bebas dilantik untuk mengaudit operasi SYABAS khususnya bagi Rumah Pam Wangsa Maju berikutan kegagalan SYABAS mengatasi masalah kerosakan rumah pam tersebut sehingga menjejaskan hampir 28,000 pengguna di sebahagian Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Laporan audit ini akan dikemukakan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Bagi membantu pengguna yang terjejas berikutan gangguan bekalan air ini, Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) turut membantu mengedarkan air terawat pada 11 Januari 2013 sebanyak 200 botol kepada MPAJ, 200 botol kepada Parlimen Ampang dan 500 kotak air botol bersaiz 350ml kepada Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Tiada ulasan: