Isnin, 14 Januari 2013

Majlis Syura mahu RTM, TV3 beri Hadi ruang

RUZY ADILA IDRIS

Sinar Harian 1 Januari
Muka hadapan Sinar Harian 1 Januari
 
SHAH ALAM – Majlis Syura Pas mahu kerajaan memberi ruang kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk muncul di TV1 dan TV3 bagi menjelaskan polemik berkaitan Amanat Haji Hadi - ucapan yang dibuatnya 32 tahun yang lalu.

Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, pihaknya mahu kerajaan bersikap terbuka dalam polemik yang kembali muncul.

“Kita tegaskan bahawa, pihak kerajaan mesti dan seharusnya terbuka berhubung isu amanat ini. Pihak Kerajaan tidak seharusnya mengulang isu yang bukan datangnya daripada tuan yang didakwa mengeluarkan amanat ini.

“Sebab itu kita desak pihak kerajaan beri ruang sekurang-kurangnya satu jam secara langsung dalam televisyen TV1 dan TV3. Perkara ini juga kita sudah keluarkan dalam kenyataan bertulis sebelum ini,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Akhir bulan lalu, Hadi meminta RTM dan TV3 membolehkan beliau muncul selamat sejam untuk menjelaskan isu yang menjadi perhatian ramai ini.

Sehubungan itu katanya, Majlis Syura membuat penetapan bahawa isu Amanat Haji Hadi bukan dinamakan ‘amanat’ oleh Hadi sendiri tetapi dilakukan oleh pihak lain yang mencetak petikan ucapan beliau.

Nik Zawawi berkata, kenyataan dikeluarkan Hadi itu dipetik dari ucapannya pada ceramah yang biasa dan disebut amanat apabila ucapan tersebut dicetak individu yang menamakannya sebagai amanat.
Majlis Syura Pas mengadakan mesyuaratnya malam tadi.

Nik Zawawi menambah, platform penjelasan ini penting diberikan sebagai pembentuk akidah dan umat Islam perlu mendengari dengan baik.

“Sebab itu, Majlis Syura merasakan amanat ini perlu diambil perhatian oleh semua umat Islam supaya akidah mereka terjaga. Sekiranya kita tak jaga akidah, itu sangat bahaya bagi umat Islam.

“Apa yang disebut oleh Hadi ialah satu peringatan kepada umat Islam supaya mereka waspada dengan akidah mereka, jangan kata akidah, hatta agama itu sendiri boleh terbatal dengan mudah,” jelas beliau.

Sehubungan itu, ujar Nik Zawawi, Majlis Syura mengulangi pendirian mereka menggesa media masa termasuk pihak kerajaan supaya terbuka dalam isu ini.

Katanya, dengan memberikan ruang menjadilan langkah yang paling adil dan sangat tidak adil apabila pihak kerajaan mengolah perkara ini seorang diri tanpa dipanggil Hadi atau wakil dari Majlis Syura.

“Boleh panggil sesiapapun daripada kami, kami bila-bila masa pun berani berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk mufti.

"Kami bersedia untuk semuka untuk memberikan penjelasan tetapi dengan syarat mesti dibuat secara langsung. Berdasarkan pengalaman lalu, kalau tidak dibuat secara langsung ucapan kami dimanipulasi dan dibuat macam-macam,” katanya lagi.

Tiada ulasan: