Oleh Aisha Geoffrey
PETALING JAYA : Beberapa wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) tidak berpuas hati dengan arahan pihak sekolah yang mewajibkan
pembelian buku tulis bersaiz A4 di sekolah, jauh lebih mahal berbanding
kedai biasa.
Perkara itu diadu ramai ibu bapa kepada Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri.
Menurut
aduan yang diterima, kata Yahya, mereka dipaksa membeli empat set buku
tulis yang berbeza daripada buku tulis biasa, berharga RM2.40 setiap
satu menerusi kedai koperasi sekolah.
“Buku tersebut dibekalkan oleh Edaran Pro Dinasti yang dikatakan
mempunyai hubungan baik dengan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM).
“Penjualannya mendapat keizinan daripada semua Jabatan Pelajaran
Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM),” jelas Yahya pada
sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Menurut Yahya, penjualan buku tersebut melibatkan semua sekolah menengah di seluruh negara dan sebahagian sekolah rendah.
“Mengikut anggaran, setiap tahun bilangan pelajar sekolah menengah
lebih 2.3 juta. Bermakna anggaran jualan yang akan diterima berjumlah
RM19,200,000, iaitu anggaran dua juta pelajar x RM9.60 (4 buku x
RM2.40),” jelas Yahya menyatakan tindakan itu semata-mata bagi mengaut
keuntungan kepada kroni.
Katanya, KPM, JPN dan MPSM patut menjadi badan yang membolehkan
bekalan buku serta alat tulis di koperasi sekolah dijual dengan harga
lebih murah.
“Kalau di kedai biasa, buku saiz tersebut boleh dibeli dengan harga
RM1.70 sehingga RM1.80. Tapi di koperasi sekolah sampai RM2.40 hingga
RM2.50,” katanya.
Beliau juga mendapat aduan PIBG dan ibu bapa berhubung pembelian buku lembaran kerja atau buku latihan.
“Ada ibu bapa menyatakan cikgu langsung tidak gunakan buku yang
dibeli. Kalau ada pun hanya dua hingga tiga muka surat sahaja. Tidak
cukupkah dengan hanya gunakan buku teks? Apakah buku teks yang
dibekalkan KPM tak cukup baik?” soalnya.
Ibu bapa juga mengadu isu harga makanan dan minuman serta kualiti di kantin sekolah yang menurutnya sering menjadi pertikaian.
“Sebagai contoh, beberapa kantin sekolah menjual seketul nugget
dengan harga 50 sen sedangkan di pasar malam boleh diperolehi empat atau
tiga ketul dengan RM1.00. Begitu juga harga segelas air dijual RM1.00,”
kata Yahya.
Beliau menyeru semua badan yang terlibat dengan institusi sekolah mengambil langkah terbaik bagi menangani isu-isu tersebut.
“Isu ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tapi semua orang
merasai bebanan itu. Apa lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah
mempunyai ramai anak yang bersekolah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan