Ahad, 6 Januari 2013

Mahathir patut sedar Umno BN yang lingkupkan negara- Johari

Oleh: Aliff Fikri

KUALA LUMPUR : Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya sedar bahawa Umno BN sebenarnya yang membawa kehancuran kepada negara, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir di blognya baru-baru ini, kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memusnahkan negara sekiranya diberi peluang menjadi perdana menteri.

Johari berkata, kenyataan itu membayangkan ketakutan Mahathir terhadap salah laku beliau selama 22 tahun akan dibongkar jika Pakatan Rakyat memegang tampuk pentadbiran negara.

“Ya, memang benar, Anwar akan membawa kemusnahan, tetapi bukan kepada negara.  Anwar membawa kemusnahan kepada Umno BN, golongan yang mencuri duit rakyat,  merompak harta bangsa sendiri, memusnahkan nepotisme dan kronisme yang menjahanamkan negara,” katanya ketika dihubungi.

 Menyifatkan kenyataan itu tidak berasas, Johari berkata, Mahathir sendiri suatu ketika pernah memberi kepercayaan kepada Anwar ketika masih di dalam kerajaan.

“Beliau sendiri tahu rekod cemerlang Anwar ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan. Sepanjang 8 tahun berkhidmat di kementerian kewangan, Anwar berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sehingga berkembang pesat.

“Apa jadi kepada ekonomi negara sekarang? Siapa sebenarnya yang menjahanamkannya? Mahathir patut sedar Umno BN sebenarnya yang melingkupkan negara,” tegasnya.

Tiada ulasan: