Selasa, 15 Januari 2013

#KL112: Ke arah landskap baru, kata KDN

SINAR HARIAN

Himpunan Kebangkitan Rakyat
Lautan manusia yang menghadiri Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka petang semalam. - Foto ihsan Mohd Afif Azman
 
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang  menyiasat tindakan segelintir peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat yang membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan di Stadium Merdeka, Sabtu lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, tindakan akan diambil berhubung perkara yang melanggar undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 selepas kertas siasatan dikemuka kepada peguam negara.

"Saya nak ingatkan walaupun ada pindaan-pindaan, itu bermakna pelaksanaan undang-undang negara mesti dipatuhi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Transformasi Perundangan berhubung keselamatan dan hak asasi hari ini.

Dalam pada itu, Hishamuddin melahirkan penghargaan kepada PDRM kerana berjaya mengawal perhimpunan pada Sabtu lepas sehingga berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Saya bersyukur kerana tiada insiden tidak diingini berlaku, kalau semuanya bertanggungjawab dan bersetuju dengan stadium yang ditetapkan, tiada provokasi, saya percaya bahawa apa yang kita lihat pada Sabtu itu adalah landskap baru," katanya.

Pada perhimpunan itu, peserta didapati melanggar tiga syarat yang ditetapkan iaitu membawa kanak-kanak berumur bawah 15 tahun, membawa plakad, sepanduk dan kain rentang berunsur hasutan selain peserta perhimpunan melebihi 30,000 orang.

Syarat itu antara 27 yang dipersetujui penganjur dan polis mengikut Seksyen 15(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan sekiranya bukti-bukti lengkap dapat dikemukakan.  Akta Perhimpunan Aman 2012 telah menetapkan larangan penyertaan kanak-kanak dan ia sepatutnya dipatuhi kerana golongan itu harus dilindungi .

"Undang-undang telah tersedia ada, sekiranya terdapat bukti kita (pendakwaan) akan mengambil tindakan, sekiranya tiada (bukti) kita tidak boleh mengambil tindakan. saya tidak terlebih dahulu  menghukum," katanya yang ditemui pemberita selepas sidang pleno dalam Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini hari ini.

Katanya, larangan penyertaan kanak-kanak dalam perhimpunan awam bukan sahaja ditetapkan di negara ini tetapi juga diamalkan di beberapa negara Eropah.

Akta Perhimpunan Aman 2012 melarang mereka yang berusia di bawah 15 tahun menyertai atau dibawa ke sesuatu perhimpunan.

Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata polis mendapati penganjur perhimpunan di Stadium Merdeka melanggar beberapa

syarat yang dipersetujui termasuk membawa kanak-kanak berusia bawah 15 tahun.

Tiada ulasan: