Rabu, 16 Januari 2013

Kerajaan negeri tidak kuasa mutlak dalam Syabas

 
Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDB) memiliki saham 30 peratus tetapi tidak memiliki kuasa sepenuhnya seperti Perbadanan Menteri Kewangan.



SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa mutlak walaupun memiliki saham 30 peratus dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang memiliki saham itu tidak memiliki kuasa sepenuhnya seperti Perbadanan Menteri Kewangan.

Katanya, Perbadanan Menteri Kewangan memiliki ‘golden share’ dalam Syabas manakala Puncak Niaga Holdings Berhad pula mempunyai saham majoriti melalui syarikat berkenaan.

“Pemilik saham istimewa adalah Perbadanan Menteri Kewangan yang memiliki golden share. Mereka ada semua kuasa,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco hari ini.

Ditanya mengenai tuduhan Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed agar penyelesaian kemelut air diselesaikan kerana milikan saham itu, Abdul Khalid menjelaskan syarikat pengurusan air terbabit bukan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri.

Menjawab dakwaan Syabas berhubung tindakan kerajaan negeri membekukan Perbelanjaan Modal (Capex) yang menyebabkan usaha  menaik taraf perkhidmatan air di Selangor terjejas, beliau berkata sebarang usaha baik pulih yang dijalankan syarikat pengurusan air itu perlu mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

“Dalam perjanjian Capex ia perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri kerana secara teorinya usaha baik pulih yang dijalankan oleh Syabas adalah melibatkan aset dimiliki oleh kerajaan negeri.

“Sebab itu kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada usaha tersebut boleh dijalankan atau tidak,” katanya.

Prosedur perlu dipatuhi

Beliau berkata sebarang usaha baik pulih, ada prosedur yang perlu dipatuhi serta  perlu ditender dan tidak boleh dijalankan secara rundingan terus dengan kerajaan negeri.

“Dalam setengah kes kerajaan negeri sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk melaksanakan Capex. Jadi saya tidak lihat ia sebagai satu isu di sini,” ujarnya.

Beliau berkata apa yang menjadi isu pada ketika ini adalah adalah pengurusan Syabas sangat lemah dan mereka perlu menilai kembali program air tidak terawat yang dijalankan.

“Sehingga hari ini mereka (Syabas) tidak pernah membentangkan kepada saya mengenai program untuk mengurangkan air tidak terawat mereka daripada 30 kepada 15 peratus seperti mana yang dipersetujui dengan kami sebelum ini,” katanya.

Abdul Khalid menjelaskan beliau mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memanggil Syabas bagi mengetahui status Capex mereka dalam usaha mengurangkan air tidak terawat.

Pada Selasa, Syabas  mendakwa sikap kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambaikan perkhidmatan syarikat dengan pembekuan Capex menyebabkan krisis air yang semakin buruk di Selangor.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Teknikal Syabas Ir.V.Subramaniam dilaporkan berkata tindakan seperti itu belum pernah terjadi di mana sebuah kerajaan negeri menghalang kerja-kerja penambahbaikan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Tiada ulasan: