Ahad, 13 Januari 2013

Kalimah ALLAH: Minda pondok buat laporan polis

SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Minda Pondok, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diangotai beberapa sekolah pondok di Kelantan, hari ini membuat laporan polis berhubung isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.
  
Antara lain, NGO itu menuntut tindakan tegas diambil terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng serta pemimpin Islam yang menyokong cadangan penggunaan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu tersebut.
  
Anggota Jawatankuasa Minda Pondok, Mohd Syamsul Mohd Yusoff yang mewakili kira-kira 100 guru agama, berkata isu itu mengguris perasaan umat Islam dan tidak sepatutnya berbangkit selaras dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
  
"Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan  orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah dan Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Disember 1981 juga mengambil tindakan sama.
  
"Kami bimbang jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh menimbulkan ketegangan dan huru-hara berpanjangan di negara yang rakyatnya berbilang kaum dan menganuti pelbagai agama," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Binjai.
  
Beliau berkata Minda Pondok juga sangat sedih apabila Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menyokong penggunaan kalimah itu.
  
"Ini semua demi politik dan sanggup menutup mata meskipun sensitiviti agama dipermainkan. Kami guru-guru agama merasa sedih dengan pemimpin Pas ini," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: