Sabtu, 19 Januari 2013

HKR 112: Mat Sabu disoal siasat polis

 
Beliau diminta memberi keterangan mengenai percakapannya ketika himpunan berlangsung di Stadium Merdeka

 PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disoal siasat pihak polis hari ini berhubung Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR)  Sabtu lalu.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam khidmat pesanan ingkas (SMS) kepada FMT berkata beliau diminta memberi keterangan mengenai percakapannya  ketika himpunan berlangsung di Stadium Merdeka.

Ujarnya ia hanya melibatkan prosedur biasa dan memakan masa kira-kira 15 minit.

Bagaimanapun Mat Sabu enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai soal siasat tersebut.

Difahamkan beliau yang sepatutnya di panggil hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi tidak berbuat demikian, sebaliknya beberapa anggota polis menjalankan prosedur berkenaan di Shah Alam.

“Ia hanya melibatkan prosedur biasa. Hanya rakaman percakapan mengenai HKR 112 sahaja. 15 minit saya disoal dan memberi keterangan,” katanya yang juga pengerusi penganjur himpunan tersebut.

Himpunan itu menyaksikan kira-kira 100,000 rakyat turun ke stadium bersejarah itu yang turut dihadiri pelbagai pimpinan Pakatan Rakyat.

Antara pemimpin tertinggi Pakatan yang turut memyampaikan ucapan termasuklah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Bersih Datuk S Ambiga, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam satu sidang medianya baru-baru ini Mat Sabu turut mengumumkan baki daripada derma sebanyak RM268,802.10 yang dikutip sewaktu himpunan itu disalurkan kepada Tabung Impian Rakyat Malaysia.

Malah beliau turut menyindir bahawa himpunan yang berlangsung pada 12 Januari lalu sememangnya bertujuan untuk menggulingkan kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: