Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini berkata pakatan pembangkang harus memastikan perhimpunan yang dicadang dianjurkan mereka Sabtu ini tidak bertukar menjadi rusuhan.
  
Mereka patut memohon kepada Stadium Negara jika ingin menganjurkan perhimpunan di situ dan memastikan kapasiti yang ditetapkan, dipatuhi, katanya.
  
Beliau berkata semua pihak harus memastikan perhimpunan itu tidak mencetuskan rusuhan seperti yang berlaku semasa perhimpunan Bersih tahun lepas.
  
Dalam hal ini Hishammuddin berharap pihak penganjur mengadakan perjumpaan dengan polis mengenai langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.
  
"Saya cukup yakin bahawa Ketua Polis Negara telah memantau keadaan ini dan boleh memastikan apa yang kita bimbang tidak akan berulang. Yang penting sekarang kita belajar daripada apa yang berlaku pada perhimpunan Bersih dahulu di mana berlakunya huru-hara dan rusuhan jalanan," katanya.

Hishammuddin memberitahu pemberita demikian di Seremban, selepas majlis taklimat persediaan Barisan Nasional menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
  
Majlis taklimat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hishammuddin mengingatkan bahawa jika perhimpunan yang dicadangkan, maka peserta patut berhimpun di dalam stadium dan tidak keluar berarak beramai-ramai.
  
"Ketenteraman awam mesti ditekankan. Saya percaya majoriti rakyat Malaysia  memahami dan mahukan hak mereka terhadap ketenteraman dan keamanan dipelihara," katanya.- Bernama