Sabtu, 5 Januari 2013

Himpunan Rakyat: Mat Sabu harap Stadium Merdeka beri 'lampu hijau' segera

Wartawan Sinar Harian

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
 
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat mendesak pihak pengurusan Stadium Merdeka supaya mempercepatkan proses penggunaan stadium tersebut untuk digunakan pada 12 Januari ini.

Pengerusinya, Mohamad Sabu berkata, desakan itu dibuat memandangkan pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pihak polis untuk berbincang berhubung penganjuran Himpunan Sejuta Rakyat.

"Kami telah mendapat kerjasama baik daripada polis. Saya berharap, penggunaan stadium juga akan mendapat kerjasama penuh daripada polis dari sudut keselamatan.

"Di pihak kita, menjanjikan perhimpunan ini yang paling aman diadakan tanpa perarakan dan dilakukan secara santai dan mesra rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, ahli jawatankuasanya bersama pemimpin Pakatan Rakyat (PR) juga akan bertemu pihak polis berkenaan langkah keselamatan pada masa himpunan berkenaan.

Beliau turut menjanjikan kepada rakyat bahawa himpunan terbesar ini akan mampu menjana pendapatan tinggi kepada penjaja dan hotel di sekitar Stadium Merdeka.

Tiada ulasan: