Selasa, 1 Januari 2013

Gerakan bimbang penjual salah guna rebat telefon pintar

MALAYSIA KINI



Parti Gerakan hari ini memberi peringatan kepada kerajaan bahawa skim rebat telefon pintar RM200 mungkin disalahguna penjual telefon bimbit dengan memaksa pembeli melanggan perkhidmatan jalur lebar baru.
Dalam satu kenyataan hari ini, timbalan setiausaha agung Pemuda Gerakan Hng Chee Wey berkata penjual telefon mungkin mengambil kesempatan ke atas skim tersebut untuk mendapatkan keuntungan mudah.

"Kebanyakan anak muda ini sudahpun memilik pakej (jalur lebar) sendiri, jadi mereka hanya inginkan telefon lebih baik tanpa syarat lain," katanya.

Beliau mengulas rebat RM200 yang ditawarkan kerajaan untuk pembelian telefon pintar oleh golongan mudah berusia antara 21 hingga 30 tahun dan berpendapatan di bawah RM3,000.

Rebat itu hanya boleh digunakan untuk telefon pintar berharga RM500 ke bawah.

Kerajaan memberi alasan, had berkenaan perlu ditetapkan memandangkan skim tersebut disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah.

Hng berkata had berkenaan terlalu rendah dan kebanyakan model telefon dalam kategori tersebut – seperti yang dikenalpasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia – tidak lagi dikeluarkan.

Katanyam SKMM sepatutnya menimbang semula beberapa syarat berkenaan.

Minggu lalu, had harga tersebut mendapat kritikan meluas oleh pengguna Internet, termasuk oleh ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, SKMM mempertahankan had berkenaan dan menegaskan bahawa golongan yang mampu membeli telefon berharga RM500 ke atas tidak memerlukan rebat tersebut.

Menteri bertanggungjawab ke atas SKMM Datuk Seri Rais Yatim bagaimanapun berkata telefon dengan harga tinggi sedikit daripada had berkenaan mungkin akan disertakan dalam pelan berkenaan.

Tiada ulasan: