SHAH ALAM : Tindakan menggantung tugas Ketua Ekonomi Bank Islam kerana meramalkan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) akan datang disifatkan tidak masuk akal dan sama sekali tidak wajar.
Pegawai tersebut, Azrul Azwar Ahmad Tajudin didakwa bercakap dalam satu seminar di Singapura minggu lalu, meramalkan BN akan kalah tipis dalam PRU 13 dengan perolehan kerusi antara 97 ke 107 kerusi berbanding 140 kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.
Percaya terdapat desakan daripada kuasa politik, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi berkata tindakan tersebut juga mencemar kredibiliti golongan professional dalam bidang ekonomi mahupun politik tanah air.
“Beliau hanya menjalankan tugas untuk beri analisa dari segi ekonomi dan politik dan kerana pembentangannya tidak menyebelahi BN, maka beliau telah digantung tugas.
“Sebagai golongan professional, saya percaya tugas dan integriti kerja beliau bukanlah untuk memuaskan hati BN.
“Tetapi, tugas beliau adalah untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pakar ekonomi dengan telus dan amanah tanpa prejudis kepada mana-mana pihak atau parti,” tegas Nik Nazmi yang dihubungi melalui panggilan telefon.
Ujarnya lagi, jika BN tidak bersetuju dengan kajian dan analisa yang dijalankan Pakar Ekonomi Bank Islam itu, BN seharusnya tangkis dengan pembentangan analisa lain yang difikirkan sesuai.
“Tetapi untuk memaksa Bank Islam menggantung tugas, itu adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak matang sama sekali,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Azrul Azwar yang masih terkejut mengesahkan tindakan penggantungan tugasnya untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan atas dakwaan ‘salah laku yang serius’.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan jawatan demi kepentingan majikannya ekoran majikannya kini menerima tekanan daripada pemimpin atasan BN.
Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataan medianya berkata, Bank Islam disaran menyemak semula keputusan menggantung tugas Azrul Azwar dan mengembalikan jawatan dan tugasnya.
“Azrul Azwar mempunyai pengalaman selama melebihi sepuluh tahun dalam bidang ekonomi.
“Beliau telah bertugas sebagai penganalisa di Meridian Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Islamic Financial Services Board (IFSB),” kata KPRU.
Ujar KPRU, badan pemikir itu menyarankan individu seperti Azrul Azwar yang berpengalaman tinggi, dalam bidang ekonomi diangkat penggantungannya dan dilayani sebagai aset dan bukannya musuh politik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan