Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak
menjelaskan tindakan kerajaan menyenarai hitam nama tiga peguam Scorpene
daripada memasuki negara ini, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Tegasnya, arahan kerajaan supaya penyelia Imigresen menahan tiga
peguam terbabit di pintu masuk lapangan terbang membuktikan ada perkara
yang mahu disembunyikan.
“Memang terbukti apa yang kita (Pakatan Rakyat) persoalkan, ada
rahsia tersembunyi di sebalik pembelian kapal selam Scorpene. Kalau
tidak, kenapa kerajaan sanggup senarai hitamkan peguam Perancis.
“Walaupun mereka (kerajaan) nafikan dengan pelbagai alasan, tapi
sebenarnya rakyat tahu apa yang mereka sembunyikan,” katanya kepada Keadilan Daily.
Beliau mengulas penyebaran satu senarai pekeliling khas di internet
yang didakwa diberikan kepada semua kakitangan terutama penyelia di
Jabatan Imigresen Malaysia.
Pada pekeliling bertarikh 3 Disember 2012 itu, tercatat nama tiga peguam Perancis yang disenarai hitam memasuki negara ini.
Mereka seperti yang dinyatakan adalah William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham.
Ditanya berhubung tarikh pekeliling itu dan mengapa ia dikeluarkan
selepas taklimat Scorpene dibuat di Singapura pada November lalu, Tian
berkata, ini adalah satu lagi halangan kerajaan kepada pendedahan itu.
“Kerajaan terpaksa mengambil tindakan tersebut untuk menjaga nama baik Najib sebelum pilihan raya umum tahun ini.
“Akibat
takut tembelang terbongkar, NGO yang mengetengahkan isu ini turut
diganggu demi politik Najib dan Umno BN,” kata Ahli Parlimen Battu itu.
Pada 27 November lalu, taklimat Scorpene oleh peguam Perancis kepada
Ahli Parlimen Malaysia dari Pakatan Rakyat dan pengamal media terpaksa
diadakan di sebuah hotel di Singapura ekoran dihalang oleh kerajaan.
Ia terpaksa diubah ke negara itu berikutan halangan oleh Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Speaker Dewan Rakyat,
Tan Sri Pandikar Amin Mulia tanpa alasan munasabah.
Mengikut jadual asal, William dan seorang lagi peguam Perancis,
Joseph Breham yang sepatutnya memberi maklumat terperinci mengenai
perbicaraan Scorpene di Mahkamah Perancis, tetapi menghantar rakan
kongsi mereka, Apoline Cagnate.
Kapal selam Scorpene yang dibeli dari DCNS di Perancis – melibatkan
komisen lebih RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, syarikat
milik rakan baik Perdana Menteri – Abdul Razak Baginda.
Skandal ini dikatakan turut berhubung kait dengan pembunuhan warga
Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang dibunuh mengguna bom C4 pada 2006.
Hakim Roger Le Loire dan Serge Tournaire kini sedang meneruskan
siasatan terhadap kes berkenaan di Mahkamah Tribunal deGrande Instance
Perancis.
Tujuh saksi dinamakan termasuk Najib, Menteri Pertahanan, Datuk Seri
Zahid Hamidi; penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, Abdul Razak
Baginda, isteri Razak, Mazlinda Makhzan, pembantu kanan beliau, Jasbir
Singh Chahl serta ahli perniagaan, Lodin Wok Kamaruddin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan