Selasa, 22 Januari 2013

DAP diminta segera serah penyata tahunan kepada ROS

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA— DAP mempunyai 20 hari lagi untuk mengemukakan penyata tahunan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selepas mengadakan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 12 Dis lepas bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujud penyelewengan dalam pemilihan itu.

Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata mengikut Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966, sesebuah pertubuhan berdaftar termasuk parti-parti politik perlu mengadakan mesyuarat agung dan mengemukakan penyata tahunan yang juga mengandungi penyata kewangan dan senarai anggota jawatankuasanya dalam tempoh 60 hari selepas mesyuarat itu.

“Hari ini hari ke-40, ibu pejabat DAP belum kemukakan (penyata tahunan). Jadi kita tak boleh cakap banyak selagi tidak dapat penyata tahunan ini kerana kita hanya tahu soal pemilihan ini dari akhbar sahaja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 12 Dis lepas, DAP mengadakan pemilihan CEC dan mengumumkan keputusannya tiga hari selepas itu.

Bagaimanapun mereka kemudiannya mengakui berlaku beberapa kesilapan dalam pengiraan undi semasa pemilihan itu dan membuat pembetulan.

Abdul Rahman berkata sehingga kini pihaknya menerima lima aduan mendakwa berlaku penyelewengan dengan dua aduan dibuat di Seremban dan tiga lagi di Putrajaya.

Bagaimanapun, katanya, ROS akan menentukan kedudukan mereka yang mengemukakan aduan itu sama ada mereka benar-benar anggota DAP atau tidak kerana menurut Seksyen 18 (C) Akta Pertubuhan 1966 hanya anggota-anggota pertubuhan sahaja yang berhak membuat aduan.

Sehubungan itu, beliau berkata mereka yang membuat aduan diminta datang ke pejabat ROS minggu ini dan mengemukakan bukti berkenaan, sebelum aduan itu disiasat.

“Memorandum yang dihantar itu pun hanya beritahu ada manipulasi. Jadi kita rayu pada mereka, (kalau) ada maklumat yang mereka katakan ada (penyelewengan), datanglah. Kalau tak datang tak boleh nak buat apa-apa,” katanya.

Katanya ROS juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pemimpin-pemimpin tertinggi DAP untuk membantu siasatan. — Bernama

Tiada ulasan: