Sabtu, 26 Januari 2013

BN akui kesilapan, akan hantar semula surat Selamat Tahun Baru

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor mengakui terdapat kesilapan kecil yang berlaku dalam proses penghantaran surat Selamat Tahun Baru bersimbol ‘Sayangi Selangor’ kepada sebilangan kecil pengundi di Dun Selat Klang seperti didakwa Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, tidak mustahil kesilapan kecil sebegini terjadi ketika penghantaran surat dalam jumlah yang besar.

“Ya, saya mengaku BN Selangor ada menghantar surat ini kepada rakyat Selangor bertujuan mengucapkan Selamat Tahun Baru. Jadi dalam penghantaran pukal sebegini pasti berlaku kesilapan teknikal seperti ini.

“Atas rasa tanggungjawab, BN Selangor akan mengirim semula surat pembetulan dan permohonan maaf kepada pengundi berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan sama, Abdul Shukor yang juga Adun Kuang turut menjelaskan bahawa kesilapan teknikal seperti ini hanyalah kesalahan kecil yang tidak disengajakan dan tiada niat untuk mengaburi atau mengelirukan pengundi seperti didakwa.

“BN Selangor memohon maaf kepada pengundi-pengundi terbabit atas kesilapan yang berlaku. Kami akan menghantar semula surat pembetulan dan permohonan maaf dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut berhubung dakwaan Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali yang menggesa BN Selangor menghentikan tindakan mengelirukan rakyat dengan menukarkan tempat mengundi pengundi sesuka hati untuk kepentingan parti mereka.

Dr Halimah dalam kenyataannya mendakwa, terdapat tiga pengundi dari Dun Selat Klang yang menghantar surat aduan kepadanya yang menyatakan Dun dan Parlimen mengundi mereka ditukar ke kawasan lain pada surat Selamat Tahun Baru dengan simbol ‘Sayangi Selangor’ daripada BN Selangor yang diterima mereka.

Tiada ulasan: