Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru agar seluruh rakyat negeri ini supaya bersabar dan memberi kerjasama dalam menjayakan pelbagai rancangan pembangunan demi faedah mereka.

Dalam titah ucapan yang dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah, baginda bertitah kerajaan negeri berusaha sedaya upaya mencari peluang dan menggembleng sumber yang ada demi faedah rakyat negeri ini.

"Segala perancangan yang dibuat memerlukan masa untuk dilaksanakan dan beta berharap seluruh rakyat negeri ini dapat memberi kerjasama dan bersabar," titah Sultan sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-85 di Istana Anak Bukit, di Alor Setar hari ini.

Tuanku bertitah kerajaan pusat meluluskan peruntukan projek Tebatan Banjir Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit di sini bagi mengatasi masalah banjir besar yang pernah melanda negeri ini beberapa tahun lalu.

Baginda bertitah pembinaan projek itu bermula tahun ini dan akan menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang mendiami kawasan berhampiran tapak projek.

"Beta berharap jabatan pelaksana projek ini akan mendapatkan input daripada semua pihak berkaitan, agar isu-isu yang menjejaskan kehidupan penduduk terbabit dapat diminimumkan.

"Kepada penduduk yang terlibat, beta berharap agar mereka dapat bersabar dan memberi kerjasama penuh bagi menjayakan projek ini," titah Tuanku Abdul Halim.

Sementara itu, Tunku Annuar turut berpesan agar tidak ada pihak mengambil tindakan provokasi sehingga menimbulkan perbezaan pendapat dan sentimen kaum serta berusaha menyelesaikannya secara muafakat.

Tunku Annuar berkata beliau sangat bersyukur dengan keadaan aman di negeri Kedah dengan rakyat pelbagai kaum hidup dalam suasana harmoni.

"Oleh itu saya menyeru agar seluruh rakyat di dalam negeri ini terus berusaha memelihara keamanan yang dinikmati supaya terus berkekalan," katanya.

Beliau berkata semua pihak harus mengutamakan kepentingan negeri dan berusaha memelihara keamanan sepanjang masa kerana ia merupakan prasyarat utama meningkatkan aktiviti ekonomi dan pelaburan negeri.- Bernama