Selasa, 22 Januari 2013

Bank Islam buat laporan polis kedua terhadap Azrul

TERKINI

 
 
KUALA LUMPUR— Bank Islam mengesahkan telah membuat laporan polis kedua ke atas Ketua Ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin hari ini kerana menemui satu lagi bukti baru Azrul melanggar polisi dalaman syarikat perbankan tersebut. 
 
Dalam satu kenyataan, Bank Islam menyatakan punca laporan polis tersebut adalah sebagaimana yang telah dinyatakan dalam surat tunjuk sebab yang dihantarnya lalu.

"Dalam menjalankan siasatan ke atas perlanggaran ini, pihak Bank menemui bukti keatas kesalahan lain yang menyebabkan kami untuk membuat laporan polis pada 18 Januari 2013.

"Semasa siasatan lanjut, pihak Bank melancarkan satu lagi laporan polis hari ini," kata Bank tersebut tanpa menjelaskan kesalahan terbaru yang dilakukan oleh Azrul tersebut.

Bank Islam juga mengulangi pendirian bahawa penggantungan Azrul tidak mempunyai kaitan dengan pembentangannya pada satu persidangan ekonomi serantau di Singapura yang lalu.

Pemegang saham terbesar dalam Bank Islam Malaysia adalah Lembaga Tabung Haji, sebuah badan berkaitan kerajaan yang menguruskan urusan umt Islam untuk menunaikan Haji.

Laporan polis pertama oleh Bank Islam menuduh Azul memiliki minit mesyuarat lembaga pengarah tanpa kebenaran, menyerahkan kepada pihak ketiga dan menyalin dokumen sulit tersebut untuk diserahkan kepada pihak ketiga. 
 
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan pihaknya telah menerima laporan kedua tersebut pagi tadi dan memberitahu pihaknya dalam siasatan ketika ini.

"Ya, kami sudah terima laporan polis daripada Bank Islam ke atas Azrul pagi tadi.

"Saya tidak boleh dedahkan lagi mengenai kes tersebut, tapi kami akan siasat dengan bukti dan keterangan yang diberikan," tambah Zainuddin.

Akibat daripada pembentangan Azrul Azwar di Singapura tidak berapa lama dahulu, majikannya telah menggantung tugas beliau atas alasan menjadi amalan bank tersebut untuk menggantung pekerja yang terlibat dengan aktiviti politik atau membuat kenyataan politik.

Azrul Azwar dua minggu lalu dilaporkan akhbar Singapura The Straits Times menjangkakan kemenangan tipis kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya 2013 dan memberitahu tiga senario yang mungkin berlaku.

Selepas laporan berita tersebut disiarkan The Straits Times dan The Malaysian Insider, Bank Islam menjauhkan dirinya dari pandangan Azrul Azwar.

Kenyataan pengarah urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat pada 11 Januari kesal dengan laporan berita mengenai sebuah forum di Singapura yang mengaitkan bank dengan pandangan Azrul Azwar dan ramalannya.

"Untuk pengetahuan, Bank Islam tidak terlibat dan tidak berkaitan dengan forum tersebut.

"Pandangan yang dikeluarkan Azrul dalam forum tersebut adalah pandangan peribadinya dan tidak harus dikaitkan dengan Bank Islam," kata Zukri dalam kenyataan empat perenggan.

Dalam laporan The Straits Times mengenai pembentangan ketua ekonomi, Azrul Azwar menjangka senario yang akan berlaku apabila Barisan Nasional hanya mampu memenangi 97 hingga 107 dari 222 kerusi parlimen, yang tidak cukup untuk sebuah kerajaan.

Tetapi keputusan tersebut juga bermakna PR hanya mempunyai sebuah kerajaan yang goyah, jauh dari majoriti yang sering diterima oleh musuh politik mereka.

Dua lagi senario yang dibentangkan Azrul Azwar ialah kemenangan tipis BN dan kemenangan lebih besar pada PR.

Azrul Azwar mengambil kira faktor seperti kaum dan demografik.

Beliau juga menjangkakan kemenangan tipis bagi PR, dimana pasaran saham akan jatuh kerana "kejutan" dan ketidakstabilan.

Azrul juga mengatakan akan berlakunya "sabotaj ekonomi" oleh peniaga dan pekerja awam yang bersama BN.

Tiada ulasan: