Khamis, 24 Januari 2013

Ahmad Maslan dakwa fitnah pengaruhi harga saham FGV

 


 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa ketidaktentuan harga saham Felda Global Venture (FGV) sedikit sebanyak berpunca daripada fitnah yang ditaburkan oleh Pakatan Rakyat.

Dakwanya lagi, kegagalan FGV juga sentiasa dinanti-nantikan Pakatan Rakyat yang didakwanya paling gembira sekiranya ia berlaku.

NONE"Pembangkang tak suka FGV ini berjaya, dan fitnah-fitnah mereka ini sedikit sebanyak mempengaruhi sentimen pelabur.

"Mereka ini jahat sebenarnya," kata Ahmad sewaktu mengulas prestasi harga saham FGV mutakhir ini.

Saham FGV merekodkan harga paling rendah di paras RM4.36 pada 21 Januari lalu - jauh lebih rendah daripada harga tawarannya - semasa kemelesetan Indeks Komposit Kuala Lumpur paling besar dalam tempoh 16 bulan.

Ia merupakan trend penurunan kedua sejak 27 Disember, semenjak penurunan pertama direkodkan di paras RM4.50 pada minggu pertama Disember lalu.

Ahmad bercakap kepada pemberita hari ini selepas majlis tandatangan perjanjian persefahaman usaha sama antara Permodalan YBK Sdn Bhd dan Paragon Matrix Sdn Bhd untuk membangunkan Serendah Wellness Sanctuary.

Projek yang dijangka menelan belanja RM2 bilion melibatkan pembinaan pusat berkonsepkan kesejahteraan dan kesihatan di Serendah.

Turut hadir di program itu, MP Hulu Selangor P Kamalanathan dan pengerusi YBK Datuk Zainal Sakom.

Tiada ulasan: