Jamilah Kamarudin
Janji tersebut merupakan satu penghinaan kerana ia berulang namun tidak pernah ditunaikan BN sejak dulu lagi.
KUALA LUMPUR: Rakyat Kelantan tidak akan mudah percaya dengan ’7 Janji’ yang ditabur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya Barisan Nasional berjaya merampas tampuk pentadbiran daripada kerajaan PAS semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 13 nanti.
Exco Kelantan Datuk Husam Musa berkata, janji tersebut merupakan satu penghinaan kerana ia berulang namun tidak pernah ditunaikan BN sejak dulu lagi.
“Rakyat Kelantan tak makan umpan, dia makan pancing.
“Mereka bijak berpolitik, sikit pun tak rasa seronok dengan janji manis Najib,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini.
Katanya, janji tersebut hanya satu perkara sia-sia jika dibandingkan dengan nilai tuntutan royalti minyak yang perlu dibayar Pusat kepada rakyat Kelantan berjumlah RM12 bilion.
Beliau berkata Najib sebaliknya hanya cuba mencedok idea kerajaan negeri untuk membina sendiri projek mega dengan hasil wang royalti minyak sekiranya berjaya diperoleh.
Idea itu menurut Husam termasuk pembinaan Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai dan stadium yang sebelum ini dijadikan projek kerajaan negeri.
‘Lebih rendah’
“RM50 juta kos pembinaan masjid ikonik, RM2 billion lebuh raya dan lain-lain janji yang disenaraikan, jumlahnya itu tidak sampai RM12 billion.
“Taraf hak rakyat Kelantan tidak seharusnya diberikan lebih rendah dari apa yang sepatutnya mereka dapat,” katanya.
Husam berkata, Najib sepatutnya melihat perspektif lebih besar mengenai masalah yang dihadapi penduduk Kelantan, seperti membina
benteng di Sungai Golok bagi mengelakkan banjir besar berlaku hampir setiap tahun.
Begitu juga dengan pemberian status lapangan terbang bertaraf antarabangsa serta kemudahan pelabuhan pendaratan gas dan petroleum yang boleh memacu ekonomi Kelantan, katanya.
Najib semasa lawatannya ke Kelantan Ahad lalu mengumumkan tujuh projek mega yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan.
Projek itu merangkumi pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.
Projek lain ialah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air.
Turut baca:
Kelantan percaya wujud telaga minyak di daratan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan