Isnin, 21 Mei 2012

PRU13: DAP mahu peralihan kuasa secara aman

Roketkini.com




KUALA LUMPUR: DAP mahu Datuk Seri Najib Razak membuat pernyataan terbuka sama ada beliau sanggup menerima keputusan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang, yakni menyerahkan kuasa secara aman apabila Pakatan Rakyat diberi mandat oleh para pengundi.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, sikap Perdana Menteri yang masih membisu menimbulkan persoalan sama ada beliau bersama UMNO dan Barisan Nasional bersedia untuk memberi komitmen yang tidak berbelah bagi apabila rakyat telah membuat keputusan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
“Najib telah menyatakan bahawa beliau ingin melihat Malaysia sebagai negara yang mempunyai ‘sistem demokrasi yang terbaik di dunia’.

“Jika benar beliau ikhlas dan mengambil serius mengenai deklarasi ini, beliau mestilah membuktikan yang Malaysia layak untuk berdiri di atas kaki sendiri sebagai sebuah negara yang benar-benar demokratik di mana peralihan kuasa pimpinan negara akan berlaku secara aman melalui kuasa rakyat secara pengundian sah, yang bukan sahaja hak demokrasi pengundi tetapi mestilah diterima sebagai sesuatu yang biasa dalam negara ini.

“Dengan itu, adakah Najib bersedia untuk membuat deklarasi yang jelas dan nyata bahawa beliau, UMNO dan BN akan menerima keputusan pilihan raya pengundi Malaysia dalam PRU13, termasuklah peralihan kuasa pada peringkat persekutuan di Putrajaya?” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur telah menyatakan sokongan kepada seruan 20 cendekiawan prihatin yang mahu semua parti politik memberi komitmen yang tegas untuk menghormati suara dan kehendak rakyat serta mengormati proses peralihan kuasa secara aman.

Dalam kenyataan 20 cedekiawan itu pada Sabtu lalu, mereka mahu:

1. Pelaksanaan semua cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) untuk membersihkan proses pilihan raya
2. Akses yang bebas dan edil untuk media massa bagi semua parti politik dan calon-calon
3. Pegawai dan kakitangan awam di peringkat tempatan, negeri dan persekutuan yang terlibat dalam proses pilihan raya mesti bersikap tidak berpihak (neutral)
4. Larangan penyalagunaan kemudahan dan jentera kerajaan serta yang berkaitang dengannya bagi kegunaan pilihan raya
5. Semua parti politik dan calon-calon mesti telus dan beramanah dalam penggunaan wang sewaktu pilihan raya. Kedua-dua gabungan (Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat) perlu mendedahkan sumber kewangan mereka dan menyediakan akaun yang memberikan butir-butir terperinci bagi kempen mereka.

Dua puluh ilmuan prihatin yang menandatangani kenyataan tersebut adalah:

* Dr. Abdul Rahman Embong
* Dr. Azmi Sharom
* Azmil Tayeb (calon Ph.D)
* Dr. James Chin
* Dr Faisal S. Hazis
* Dr. Farish A. Noor
* Dr. Terence Gomez
* Dr. Clive Kessler
* Dr. Khoo Gaik Cheng
* Dr. K. J. John
* Lim Chee Han (calon Ph.D)
* Dr. Lim Teck Ghee
* Dr. Francis K. W. Loh
* Gregore Pio Lopez (calon Ph.D)
* Dr. Mustafa. K. Anuar
* Dr. Ruslan bin Zainuddin
* Dr. Subramaniam Pillay
* Tan Beng Hui (calon Ph.D)
* Dr. Wong Chin Huat
* Prof Madya Zaharom Nain

Menurut Kit Siang, 20 cendekiawan itu mencadangkan semua pemimpin parti politik serta parti-parti politik itu sendiri bersepakat untuk menyatakan dalam satu perjanjian bahawa “keputusan pengundi adalah muktamad dan mesti dihormati dan memuliakan dan memastikan peralihan kuasa dijalankan secara aman”.
Beliau juga mencabar Najib sama ada sanggup menarik balik kenyataannya sebagai Presiden UMNO untuk mempertahankan Putrajaya “walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa” di perhimpunan agung UMNO pada tahun 2010.

Menurutnya, beliau juga telah menghantar satu soalan kepada Parlimen untuk Perdana Menteri bagi sesi Dewan Rakyat yang dijaduakan bulan depan, iaitu: “Sama ada Perdana Menteri dapat memberi jaminan dan kepastian bahawa beliau, UMNO dan Barisan Nasional akan menerima keputusan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13, termasuklah peralihan kuasa kerajaan di Putrajaya?” – Roketkini.com

Tiada ulasan: