Isnin, 21 Mei 2012

BN pinggirkan kepimpinan, kepakaran wanita

Roketkini.com




BUTTERWORTH: Pembangunan dan kemajuan wanita di negara ini dirosakkan  oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional yang hanya berminat mempertahankan seorang bekas Menteri hal-ehwal wanita yang terlibat dalam amalan rasuah, pecah amanah serta mengejar hartanah untuk kepentingan keluarganya sahaja.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kegagalan BN mewujudkan kepimpinan wanita yang cekap dan amanah menyebabkan ia ketandusan pemimpin wanita sehingga jawatan Menteri Wanita kini dipangku oleh seorang lelaki, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, walau pun menghadapi dilema besar, BN masih tidak sedar dan masih berdegil melakukan perbuatan kotor dan keji dengan memanipulasikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) demi kepentingan politik mereka.

Menurutnya, segala tuntutan rakyat mengenai kelemahan-kelemahan dan cadangan untuk penambahbaikan SPR harus dilaksanakan segera sebelum menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Tuntutan Bersih yang dipengerusikan oleh seorang wanita, yakni Datuk Ambiga Sreenevasan, menunjukkan komitmen golongan wanita untuk pentadbiran negara dan mempertahankan hak rakyat,” katanya sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat di Bandar Perda dekat sini semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengucapkan tahniah kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya melahirkan kepimpinan wanita yang berjuang secara bersungguh-sungguh demi pertahankan hak wanita Malaysia.

Mengimbas kejayaan perhimpunan Bersih 3.0. beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata bahawa semasa perhimpunan tersebut di Pulau Pinang, ia berjaya dilaksanakan dengan aman dan damai kerana mendapat sokongan baik kepimpinan kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Katanya, ia membuktikan kejayaan sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mengamalkan demokrasi serta menghormati hak rakyat sebagai pengundi.

Beliau menambah bahawa pada tahun ini, wanita Pakatan Rakyat berjaya mencipta sejarah dalam negeri dengan penubuhan Penang Women Development Corporation (PWDC) yang akan melaksanakan agenda dan dasar-dasar demi pembangunan gender, keadilan gender dan sosial di peringkat negeri.

Kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang telah pun meluluskan bajet khas tahunan sebanyak RM1.5 juta kepada PWDC.

Guan Eng berkata, konvensyen Wanita Pakatan kali kedua itu merupakan satu usaha yang berjaya mengumpulkan ahli sayap wanita Pakatan Rakyat yang melambangkan kekuatan jentera Wanita PR.

“Pemilihan tema ‘Bersama Bersihkan Malaysia’ menunjukkan keprihatinan Wanita PR untuk menambaik pilihanraya ke arah pilihan raya yang bersih, bebas dan adil di Malaysia dan mempertahankan nilai demokrasi dalam pentadbiran negara,” ujarnya.

Tambah beliau, pembentangan kertas kerja konvensyen yang bertajuk ‘Kepimpinan Bersih , Pilihan Raya Bersih dan Urus Tadbir Baik, Keadilan Untuk Semua’ melambangkan komitmen Wanita PR Pulau Pinang dalam menuju PRU 13.

Katanya, pelaksanaan komitmen itu sudah pastinya akan memikat hati pengundi wanita di negeri tersebut kerana ianya memartabatkan hak pengundi wanita di peringkat negeri  dan mempertahankan amalan demokrasi.

“Semoga Wanita PR Pulau Pinang berjaya dalam pelaksanaan misi dan agenda ini. Marila kita sama-sama menjadikan falsafah Bersih sebagai amalan wajib dalam demokrasi negara,” ujar beliau. – Roketkini.com



 

Tiada ulasan: