Selasa, 1 Mei 2012

Polis tak benar perhimpunan 1 Mei di Dataran

 
 
Polis menasihati orang ramai agar mengabaikan khidmat pesanan ringkas (SMS) mengajak mereka berkumpul di Pasar Seni di Kuala Lumpur untuk berhimpun menuntut hak pekerja pada 1 Mei.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain  Abdul Rahman berkata pihaknya menerima maklumat terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan SMS berangkai itu yang sebenarnya adalah palsu.

"Saya menegaskan bahawa satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berangkai yang menyebarkan maklumat berkenaan perhimpunan itu dan dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan pada Sabtu lalu adalah palsu.

"SMS itu juga turut mengajak orang ramai supaya menyertainya disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur.

Beliau mengakui polis ada menerima permohonan untuk berhimpun di Dataran Merdeka esok oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan beberapa badan bukan kerajaan bagi menyuarakan hak dan tuntutan pekerja terhadap majikan mereka, namun telah ditolak polis.

Khamis lepas, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mewartakan Dataran Merdeka sebagai kawasan larangan bagi sebarang aktiviti perhimpunan kepada orang awam bermula Sabtu lepas sehingga esok.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata polis sedang mengesan pihak yang bertanggungjawab menyebarkan SMS tersebut yang turut dikaitkan dengan perhimpunan pada Sabtu lepas.

"Polis akan mengambil tindakan mengikut undang-undang sekiranya terdapat pihak yang cuba mencetuskan huru-hara dan provokasi bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal," katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi berhadapan dengan segala kemungkinan termasuk jika berlaku perhimpunan esok yang dikatakan akan disertai Jaringan Rakyat Tertindas dan Suara Rakyat Malaysia.- Bernama

Tiada ulasan: