Isnin, 30 April 2012

Wartawan asing dedah sikap polis

KL TODAY

 


Bagai berjuang di medan perang.Bezanya, dalam suasana perang, kita boleh bertindak membalas serangan musuh.Dalam suasana yang kami – saya dan jurugambar, Taufik A. Kader – hadapi pula ketika membuat liputan perhimpunan Bersih 3.0, ia ibarat ‘durian dengan mentimun’.

Nyawa kami dan puluhan ribu peserta perhimpunan ‘Duduk Bantah’ Bersih 3.0 di kawasan berdekatan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bagai nak putus apabila kawasan itu diselimuti asap putih gas pemedih mata menyesakkan nafas yang dilancar pihak polis dan suasana huru-hara akibat kejadian itu.

Anehnya, berbeza daripada suasana perhimpunan sulung dan kedua Bersih pada 2007 dan tahun lalu, kali ini pihak wartawan, selain para peserta Bersih 3.0, turut menjadi buruan dan sasaran ‘ancaman’ pihak berkuasa yang bertugas

.Gambar: Beberapa anggota polis menahan dan mempersoalkan kehadiran wartawan asing ini serta meminta menunjukkan dokumen media tambahan sebagai bukti, walaupun wartawan berkenaan memakai pas media rasmi.

Ketika saya cuba melarikan diri daripada dicengkam kesan gas pemedih mata dan bimbangkan keselamatan rakan saya itu – yang terpisah ketika tembakan dan semburan gas pemedih mata dan cecair kimia ditujukan ke arah peserta perhimpunan – saya terserempak kira-kira lapan hingga 10 orang anggota polis sedang membelasah seorang pemuda berusia 20-an tahun yang longlai di sebatang lorong penghubung Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan Jalan Masjid India.

Ketika itu, beberapa orang polis yang menyedari percubaan saya dan seorang jurugambar media asing untuk merakamkan insiden itu meluru ke arah kami lalu mengancam dengan kata-kata:

‘Awas, jangan ambil gambar! Nanti aku pecahkan kamera kau!’

Dengan pantas kamera peribadi saya ditepis dengan ganas dan terjatuh ke tanah, manakala saya dapat menangkis percubaan seorang lagi anggota polis daripada merosakkan kamera jurugambar media asing itu. Mujur kamera saya tidak rosak.

Namun, beberapa wartawan lain – asing dan tempatan – turut mengalami nasib sama.

Mereka diancam, dimarahi, ditahan dan disoal siasat, serta kad memori kamera dan dokumen media dicampak polis dengan kasar.

Sementara itu, Taufik terpaksa berlindung di bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas menjadi sasaran lima tembakan gas pemedih mata.

Lega hati saya mendapat tahu beliau selamat selepas entah beberapa kali dihubungi.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, bagaimanapun berkata pihak polis bertindak profesional ketika menangani episod huru-hara itu.

Hakikat suasana sebenarnya amat mengelirukan kerana sesiapa sahaja di kawasan Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman, sekitar stesen LRT Masjid Jamek dan Jalan Raja Laut berpotensi menjadi sasaran anggota seragam biru.

Emosi manusia memang boleh mencapai tahap bahaya, jika ia dibiarkan didorong oleh naluri keganasan haiwani kita dan hilangnya sikap peri- kemanusiaan di kalangan kita.

Wartawan tersebut ialah Darwis Said yang bertugas dengan Berita Harian Singapura.

Tiada ulasan: