Ahad, 27 Mei 2012

PM akan lancar prospectus penyenaraian FGVH Khamis depan

THE MALAYSIAN INSIDER


DUNGUN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan prospektus penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) di Kuala Lumpur Khamis depan.

Menyatakan demikian, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pelancaran itu bagi membolehkan FGVH disenaraikan ke Bursa Malaysia.

“Cuma tinggal beberapa hari saja lagi untuk Datuk Seri Najib melancarkan kempen penyenaraian FGVH serta proses penerimaan tempahan di mana 20 peratus sahamnya menjadi milik peneroka yang berjumlah 112,635 orang.

“Manakala 17 peratus lagi sahamnya dipegang oleh badan amanah jemaah menteri yang menjaga Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Felda Wilayah Terengganu dan sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat negeri Terengganu di Ketengah Jaya dekat sini hari ini.

Mohd Isa berkata, daripada 20 peratus saham milik peneroka itu yang mendapat untung, ia akan diagihkan kepada semua 112,635 peneroka berkenaan.

Katanya selain itu Felda juga mengagihkan saham kepada kerajaan-kerajaan negeri dan yang menjadi amalan Felda, saham-saham juga akan diagihkan kepada institusi-institusi pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji dan lain-lain.

Sementara itu mengenai Hari Tibi Sedunia beliau berkata, terdapat peningkatan kes penyakit Tibi di kawasan gugusan Felda Kerteh yang mempunyai hampir 20,000 peneroka.

Katanya, pada tahun 2010 terdapat 17 warga Felda mengidap penyakit Tibi di negeri Terengganu, manakala pada tahun lepas meningkat kepada 32 orang.

Katanya yang membimbangkan sehingga bulan April tahun ini terdapat 18 kes warga Felda yang mengidap penyakit berkenaan di negeri itu.

“Oleh itu saya menyeru orang ramai bersama-sama memainkan peranan untuk menghentikan penularan penyakit Tibi di negara kita agar sasaran jangka panjang iaitu eliminasi Tibi daripada menjadi masalah kesihatan awam di dunia menjelang tahun 2050 akan dapat dicapai,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: