Ahad, 27 Mei 2012

Johor sedia untuk buat perubahan besar

Abdul Aziz Mustafa,



(Salahudin memimpin usaha PAS untuk membebaskan Johor dari kekangan BN)


KUALA LUMPUR: Johor kini bukan lagi Johor dulu di mana puluhan orang sahaja hadiri ceramah PAS.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, jumlah ribuan hadirin dalam ceramah-ceramah PAS di kawasan-kawasan Melayu semakin menjadi perkara biasa di Johor.

Lebih memberansangkan, katanya, ialah apabila mereka yang hadir itu terdiri dari penduduk tempatan.

"Kecuali majlis-majlis khas yang besar di mana mungkin ahli-ahli PAS dari seluruh Johor hadir beramai-ramai, kehadiran adalah dari penduduk tempatan.

"Maknanya, kalau 1,000 yang hadir ceramah-ceramah kita, hampir semuanya adalah penduduk tempatan," kata Salahuddin.

Bagi beliau, apa yang berlaku itu membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu di negeri itu.

"Dulu, Umno bukan sahaja tak pandang langsung kita, malah memperlekehkan.

"Hari ini, ada pemimpin tertinggi Umno yang berucap menyatakan akan mempertahankan Johor (dari PR)," katanya.

Mengenai sambutan di kalangan masyarakat Cina pula, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Umno sendiri semakin merasai bahangnya.

"Tak manis kita sendiri yang membuat dakwaan tetapi ada yang menyatakan pengundi-pengundi Cina di Johor akan menyebabkan parti itu sakit teruk.

"Bekas Presiden MCA (Ling Liong Sik) sendiri menjangkakan BN (Barisan Nasional) mungkin akan kehilangan sejumlah sokongan di Johor.

"Saya yakin perkataan sejumlah yang digunakan oleh Liong Sik itu merujuk kepada masyarakat Cina," kata Salahuddin.

Sebab itulah, kata beliau, ada yang menumpukan kempen yang lebih agresif di kawasan-kawasan Melayu.

Pandangan Salahuddin itu diakui oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

"Saya selalu beritahu kawan-kawan bahawa dahulu memang benar pandangan yang menyatakan majlis ceramah (menjadi keutamaan) nombor lapan di Johor.

"Tetapi sekarang, ceramah mungkin sudah jadi nombor satu," katanya.

Mohamad memberitahu, baru-baru ini beliau ditugaskan berceramah di dua kawasan yang berdekatan di Johor pada malam yang sama.

"Kehadiran di kedua-dua kawasan itu berjumlah ribuan orang," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan Salahuddin bahawa hampir semua yang hadir adalah penduduk tempatan.

"Zaman orang PAS pergi beramai-ramai berpuluh-puluh batu semata-mata kerana hendak mendengar ceramah seperti tahun lapan puluhan dahulu sudah berlalu.

"Sekarang yang datang hampir semua orang tempatan dan saya berani kata sebahagian besarnya bukan ahli PAS pun," kata Mohamad lagi.

Tiada ulasan: