Rabu, 21 Disember 2011

Pelajar UM mahu protes masalah Wifi

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (UM) akan mengadakan perhimpunan Jumaat ini untuk membantah perkhidmatan Wifi yang teruk, sedangkan mereka dikenakan bayaran RM100 setahun.

Majlis tersebut telah mewujudkan halaman di Facebook, meminta para pelajar menyertai perhimpunan tersebut di hadapan bangunan Canselori selepas solat Jumaat.

azlanBendaharinya, Kelvin Tee berkata, para pelajar tidak berpuas hati
dengan kualiti perkhidmatan Wifi dan masalah itu tidak diselesaikan selama lebih daripada dua bulan.

Pihak berkuasa kampus mengenakan yuran ICT sebanyak RM100, yang meliputi perkhidmatan Wifi dan aplikasi perisian, pada awal tahun pengajian semasa.

Tee berkata, kini sudah masuk minggu ke-14 semester, tetapi banyak fakulti dan kolej kediaman menghadapi masalah yang berterusan untuk mendapat sambungan ke Internet.

Menurutnya, isyarat internet tidak terdapat langsung di beberapa kolej, manakala di tempat lain, isyaratnya ada tetapi pelajar sukar mendapat sambungan Internet, dan di sesetengah kolej, sambungannya lemah.

Pada masa lalu, katanya, masalah sambungan Internet merupakan kes-kes terpencil dan diselesaikan dengan cepat oleh pihak berkuasa kampus.

Masalah Wifi bertambah buruk pada tahun pengajian semasa, kata Tee.

Katanya, mereka telah menemui naib canselor dan timbalan naib canselor berhubung perkara itu, dan mereka juga telah mengadu kepada pusat IT hampir setiap hari, tetapi masih tidak selesai.

Menurutnya, naib canselor berjanji keadaan akan bertambah baik menjelang November tetapi ia masih tidak selesai.

Badan pelajar itu akan menyerahkan memorandum kepada pihak universiti menggesa supaya diambil tindakan segera, serta memansuhkan yuran ICT bagi tahun pengajian akan datang.

Mereka juga akan menuntut bayaran balik sebanyak RM40.

Timbalan Naib Canselor (hal ehwal pelajar) Profesor Rohana Yusof tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Tiada ulasan: