Rabu, 21 Disember 2011

Jururawat, doktor, wartawan belum dapat undi awal

MALAYSIA KINI

Cadangan untuk memperluaskan kategori pemilih yang boleh mengundi awal kepada jururawat, doktor dan wartawan masih belum dapat dilaksanakan lagi buat masa ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata syor yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) itu memerlukan penelitian dan kajian terperinci daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mengambil kira beberapa faktor.

"SPR perlu meneliti dan mengkaji kesan dan juga pelaksanaan syor ini dengan mengambil kira kemampuan SPR dari segi kekuatan dan faktor organisasi SPR yang sedia ada," katanya ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin di Dewan Negara di sini hari ini.

PSC dalam laporan awal jawatankuasa itu yang dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 1 Disember lepas telah mengesyorkan jururawat, doktor dan wartawan diberi peluang mengundi awal dan bukan mengundi secara pos.

Cadangan itu adalah antara 10 syor yang dibuat selepas jawatankuasa itu mendengar pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu serta maklum balas yang diterima daripada anggota jawatankuasa.

Selain cadangan pengundian awal, cadangan lain yang dikemukakan itu termasuk penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13; pengundi tidak hadir luar negara; pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran.

Cadangan turut menyentuh pembersihan daftar pemilih; pameran rang daftar pemilih tambahan; ketelusan proses mengundi; penambahbaikan proses pencalonan; dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).- Bernama

Tiada ulasan: