Rabu, 9 November 2011

S’gor jamin tiada pengurangan k’tangan awam

Program Merakyatkan Ekonomi Selangor adalah untuk semua rakyat negeri itu termasuk kakitangan awam.



DUN SELANGOR

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan bahawa kerajaan negeri akan mengurangkan kakitangan awam sebaliknya mereka sentiasa mendapat jaminan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“MES meliputi semua program bagi seluruh rakyat Selangor dan ini termasuklah kakitangan awam di negeri ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Serdang Datuk Satim Diman dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini.

Satim menyoal sama ada kerajaan negeri bercadang untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam negeri berikutan kenyataan seorang Ahli Parlimen DAP baru-baru ini yang mahu mengurangkan kakitangan awam sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Khalid sebaliknya mempertikaikan tindakan kerajaan terdahulu yang didakwa gagal mempertahan dan membela nasib kakitangan awam.

“Program MES adalah untuk semua rakyat Selangor termasuk kakitangan awam. Program ini diperhebat dan setiap kakitangan awam dibela dan bukan dikurang ataupun dibuang.

Khalid berkata, kakitangan awam sentiasa dipantau agar prestasi mereka dipertingkatkan. Jika mahu kata kakitangan awam tidak diambil kira itu bukan perjuangan kerajaan negeri untuk merangka pembangunan negeri Selangor.

“Ini berbeza sebelum 2008 tidak dinyatakan sebegitu…..mengapa baru sekarang nak pertahan kakitangan awam. Itu kenyataan yang kurang jelas sedangkan sepatutnya sejak merdeka lagi kita perlu pertahan kakitangan awam,” katanya.


Persoalan ini juga dibangkitkan oleh Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) (gambar) sehingga menyebabkan beliau diarahkan keluar dewan selama satu hari.

Speaker Dun Selangor Datuk Teng Chang Khim menggunakan Peraturan 44 (2) untuk mengarahkan mana-mana anggota Dun keluar dewan. Beliau membuat keputusan itu setelah Mohd Isa enggan duduk walaupun sudah diberi amaran.

“Batang Kali kata Speaker tidak adil. Saya tahu perangai Batang Kali….pilihan raya umum sudah dekat…,” kata Teng yang sudah memberi amaran sebanyak tiga kali kepada Mohd Isa.

Sementara itu, Mohd Isa yang ditemui di luar lobi menjelaskan bahawa beliau hanya mahu mendengar penjelasan daripada Menteri Besar sama ada tindakan sama akan dilakukan kerajaan negeri seperti cadangan DAP itu agar kakitangan awam dikurangkan.

“Soalan tidak dijawab. Penjelasan tentang soalan saya tidak diterangkan. Bagaimana ia akan menjaga kepentingan kakitangan awam sedangkan rakan dalam Pakatan, DAP kata nak buang?,” soal Mohd Isa.

Tiada ulasan: