Khamis, 3 November 2011

MEF nafi halang pekerja sertai piket nasional MTUC esok


KUALA LUMPUR — Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah mengambil tindakan-tindakan tertentu untuk menghalang pekerja menyertai piket peringkat nasional anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan menegaskan, persekutuan itu hanya memberi nasihat kepada majikan berhubung piket yang akan diadakan oleh badan induk kesatuan sekerja itu di seluruh negara petang esok.

“Dan, tidak dalam mana-mana keadaan (nasihat itu) bertujuan mahu menghentikan atau menghalang pekerja-pekerja daripada berpiket pada 3 November (esok),” kata beliau dalam kenyataan diemelkan kepada The Malaysian Insider dari Jakarta awal pagi tadi.

Semalam, Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor menggesa MEF supaya tidak mengambil tindakan berunsur menakut-nakutkan pekerja demi menghalang mereka daripada menyertai piket memprotes pindaan Akta Kerja 1955.

Badan induk kesatuan sekerja itu juga melahirkan rasa kesal kerana MEF telah mengeluarkan arahan agar tidak menyertai piket atas alasan piket bukan satu bentuk pertikaian perhubungan perusahaan selain melanggar undang-undang lain yang melarang orang ramai berkumpul.

“Saya kesal dengan tindakan MEF yang mengeluarkan surat kepada anggota mereka, di mana anggota mereka (majikan) menggunakan ke atas pekerja-pekerja mereka.

“Saya rasa tindakan ini bersifat mahu menakut-nakutkan pekerja, anggota MTUC... oleh itu kami minta jangan guna surat itu ke atas pekerja,” kata Halim.

Halim juga berkata memang benar piket anjuran MTUC bukan tindakan pertikaian perhubungan perusahaan dan oleh itu ia diadakan selepas waktu pejabat atau waktu kerja.

Halim berkata MEF dan MTUC merupakan pertubuhan profesional yang sedia mengetahui peranan dan fungsi masing-masing.

“Kalau MEF menggunakan imej korporat, MTUC pula menggunakan hak tenaga kerja untuk mencapai matlamat kami melindungi para pekerja.

“Saya merasakan MEF tidak perlu mengambil tahu jika tidak mahu menyokong kami. Jangan hendak menakut-nakutkan pekerja, saya fikir perkara ini tidak baik dalam semangat tiga pihak,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya Shamsuddin menjelaskan, pertikaian semasa adalah antara MTUC dan kerajaan, oleh itu ia tiada kaitan dengan pekerja dan majikan.

“Oleh itu seseorang pekerja tidak boleh berpiket dalam isu berkaitan pindaan Akta Kerja ataupun di kawasan berhampiran tempat kerja,” kata beliau.

Malah kata beliau, pihaknya juga menasihatkan bahawa di bawah Kanun Keseksaan perhimpunan melibatkan lima orang atau lebih memerlukan permit polis dan jika tidak ia akan dianggap sebagai melanggar undang-undang negara.

“Oleh itu MEF hanya memberikan nasihat, bukannya menghalang,” kata beliau lagi.

Tiada ulasan: