Jumaat, 4 November 2011

KJ: Keputusan mahkamah berhubung AUKU 'mengikat'



MALAYSIA KINI

Penghakiman mahkamah rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti adalah tidak sah bukan "semata-mata pendapat mahkamah", kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

NONEDalam pendirian ini, Khairy bercanggah pendapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang berkata keputusan itu belum muktamad dan ia kekal sebagai undang-undang.

Malah, katanya, penghakiman mahkamah itu bersifat mengikat di sisi undang-undang, dan ia bukan sekadar "pendapat".

"Tidak, ia mengikat. Keputusan mahkamah dan perlembagaan undang-undang adalah sesuatu yang mengikat," katanya kepada media selepas perjumapaan dengan tiga daripada empat bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memenangi kes mereka itu ke atas kerajaan.

Nazri, yang bertanggungjawap terhadap hal undang-undang, Rabu lalu berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah semata-mata "pendapat mahkamah" atau hanya obiter dictum mahkamah”.

Turut hadir pada perjumpaan ini adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu.

NONEMenurut Saifuddin pula, beliau telah bertemu dengan beberapa menteri kabinet untuk merayu kepada mereka supaya kes berkenaan tidak dibawa untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, jika kerajaan memutuskan untuk merayu, maka ia akan kalah dari segi moral, meskipun jika berjaya dengan rayuan di Mahkamah Persekutuan nanti.

"Kalau kerajaan tak buat rayuan maka ini merupakan satu kemenangan moral bagi kerajaan kerana kita mengakui dan mengiktiraf pandangan orang muda sekarang yang melihat Seksyen 15 ini sudah tidak sesuai lagi.

"Ini juga memudahkan kita untuk meneruskan apa yang selanjutnya perlu dilakukan iaitu meminda seksyen yang berkaitan," katanya.

NONESaifuddin berkata dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Seksyen 15(5)(a) Auku sudah tidak lagi wujud dan kini mahasiswa bebas untuk berpolitik.

"Bolehlah (mahasiswa berpolitik), dengan keputusan mahkamah itu ia (Seksyen 15(5)(a)) dah jadi lapuk dengan sendirinya," katanya.

Mahkamah Rayuan, pada 31 Oktober lalu, memutuskan Seksyen 15 (5)(a) Auku yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak munasabah dan melanggar kebebasan bersuara.

Tiada ulasan: