Rabu, 16 November 2011

Gaji bos PKNS munasabah

Fazy Sahir | November 16, 2011

Sepanjang kepimpinan Othman Omar, keuntungan operasi PKNS berjaya ditingkatkan.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata gaji Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor b(PKNS) sebanyak RM40,000 bagi tempoh dua tahun perkhidmatannya adalah munasabah berdasarkan prestasinya yang baik.

“Sepanjang kepimpinan Othman Omar, keuntungan operasi PKNS berjaya ditingkatkan berbanding dengan penjualan syer dan aset yang dilakukan kepimpinan terdahulu,” katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2012 di Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini semalam.

Malah melalui semakan yang dilakukan ke atas Khazanah Nasional Berhad dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lain, beliau mendapati gaji yang diberi melebihi RM1 juta setahun iaitu kira-kira RM100,000 sebulan.

“Gaji sebanyak RM40,000 itu adalah munasabah walaupun ada orang kata gaji itu lebih mahal daripada Menteri Besar. Selagi tidak mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa maka tak mengapa. Saya bukan orang yang senang buang duit.

“Ketika di PNB (Permodalan Nasional Berhad) kita bayar gaji tinggi tetapi munasabah. Sepatutnya perkara sama dilakukan ke atas Pengurus Besar yang menguruskan syarikat yang tidak berjaya dan kemudiannya menjadikan syarikat itu berjaya.

“Bagi pihak kerajaan negeri Selangor, pendapatan yang diterima oleh Pengurus Besar PKNS akan dinilai berdasarkan prestasi beliau dan PKNS itu sendiri. Sejak 2009 hingga 2011, pencapaian beliau dan PKNS boleh dikategorikan sebagai baik,” terangnya.

Bagaimanapun, menurut Khalid jumlah bayaran bonus kepada Pengurus Besar PKNS akan di kaji semula.

Pada sidang Dun minggu lalu, Ketua Pembangkang Datuk Mohammad Satim Diman (BN-Sri Serdang) mempersoalkan jumlah gaji Pengurus Besar PKNS sebanyak RM39,933 sebulan dan ia dianggap sebagai luar biasa.

Satim berkata, jumlah tersebut meliputi gaji dan elaun dari PKNS sebanyak RM16,933 dan elaun tambahan dari empat anak syarikat PKNS sebanyak RM23,000.

Tiada ulasan: