Khamis, 10 November 2011

Caterham Jet jejas komitmen Air Asia?

Tindakan Dato' Seri Tony Fernandes menimbulkan persoalan sama ada ia menjejaskan komitmen Air Asia yang dibuat berdasarkan CCF dengan MAS.



PETALING JAYA: PKR melahirkan kebimbangan penubuhan Caterham Jet oleh Dato’ Seri Tony Fernandes akan menjejaskan komitmen yang dibuat berdasarkan Perjanjian Kerjasama Menyeluruh (CCF) dengan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Pengarah Strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media berkata, tindakan beliau menimbulkan persoalan sama ada ia menjejaskan komitmen Air Asia yang dibuat berdasarkan CCF dengan MAS.

Beliau merujuk kepada laporan Reuters mengenai penubuhan sebuah syarikat penerbangan baru yang menawarkan perkhidmatan premium penuh oleh Tony Fernandes yang juga pemilik Air Asia.

Laporan itu turut menyebut bahawa syarikat penerbangan yang diberi nama Caterham Jet itu akan menyediakan perkhidmatan premium penuh di antara Subang dengan laluan serantau seperti Bangkok, Jakarta dan Singapura.

Tujuan utama perjanjian tersebut ialah untuk mengikat kedua-dua buah syarikat penerbangan agar menumpukan perhatian kepada pasaran masing-masing (iaitu pasaran khidmat premium penuh oleh MAS dan pasaran tiket murah oleh Air Asia) agar kedua-duanya tidak bersaing sesama sendiri.


“Justeru, saya mempersoalkan sama ada tindakan Tony Fernandes ini mencabuli komitmen yang telah dibuat melalui Air Asia di dalam perjanjian CCF yang ditandatangani dengan MAS?,” soal Rafizi.

Beliau menyoal, “bukankan perjanjian CCF secara jelas menghalang Air Asia dan pemiliknya membuka sebuah syarikat penerbangan
yang menawarkan perkhidmatan premium penuh di laluan yang sama dengan MAS, agar masing-masing membina kekuatan di dalam
pasaran tersendiri?

“Adakah Caterham Jet akan menggunakan laluan yang sama dengan MAS dan seterusnya menjadi pesaing kepada MAS?,” soal beliau lagi.

Menurut Rafizi, jika ini berlaku ini menyebabkan perjanjian CCF tidak lagi bermakna dan berguna.

Pelaksanaan perjanjian CCF katanya, telah mengakibatkan kemarahan kakitangan MAS yang merasakan mereka dipinggirkan di dalam proses membuat keputusan sedangkan mereka banyak berkorban dalam pelbagai Pelan Transformasi Perniagaan (BTP) yang diperkenalkan pengurusan MAS sebelum ini.

“Penubuhan Caterham Jet mengesahkan bantahan PKR terhadap perjanjian CCF sebelum ini atas dasar ia tidak menjamin perkongsian sama rata di antara MAS dan Air Asia yang seterusnya merugikan rakyat akibat monopoli yang wujud,” terang beliau.

Tiada ulasan: