Izinkan saya menfokus Butiran 010400 dan 020000 berkaitan Industri Padi. Pada takat ini, kita hanya telah mencapai Tahap Sara Diri sebanyak 70% dalam keperluan beras untuk rakyat kita. Dengan masalah pemanasan dunia dan ketidakstabilan iklim, adalah kemungkinan timbulnya kekurangan dalam bekalan beras dan pada masa itu, harga beras akan naik secara mendadak. Oleh itu, adalah penting kerajaan kita melaksanakan pelan untuk meningkatkan pengeluaran beras ke Tahap Sara Diri 100%. Jika perlu, lebih tanah pertanian harus dikhaskan untuk penanaman padi.
Berkaitan ini saya akan sentuh Butiran 120400 ia-itu Pemberian Subsidi Harga Padi dan Butiran 120500 Pemberian Subsidi Baja Padi. Saya menyokong program mensubsidikan penanaman padi. Ini adalah suatu contoh mana kita tidak boleh bergantung pada pasaran bebas. Kerana beras adalah satu barangan keperluan asas dan jika harganya tinggi rakyat berpendapatan biasa akan rasa tertekan.
Namun, jika harga beras ditetapkan di tahap yang rendah, pesawah padi akan terus miskin. Oleh ini adalah wajah amalan subsidi dipakai untuk meningkatkan pendapatan petani sambil memastikan bekalan beras adalah mencukupi untuk rakyat kita, dan dapat diperolehi dengan harga yang munasabah. Kaedah ini, subsidi, harus digunapakai untuk menjamin bekalan barangan makanan lain seperti sayur-sayuran dan ikan juga.
Saya ingin mengalih ke Butiran 020200 - Pembangunan Komoditi. Pada takat ini, lebih daripada 80% daripada sayur yang dibekalkan di pasar-pasar kita berasal daripada pekebun-pekebun kecil yang tidak ada geran terhadap tanah yang mereka sedang mengusaha. Ramai daripada mereka merupakan generasi ketiga yang mengusahakan tanah itu. Walaupun kebun mereka telah wujud 50 tahun atau lebih mereka tidak ada geran ataupun lease. Dengan pembangunan bandar-bandar kita, golongan pekebun ini sedang dijejas oleh pembangunan dan diusir keluar. Biasanya mereka tidak diberi tanah gantian untuk meneruskan dengan kegiatan penanaman sayur. Tanah mereka disenaraikan sebagai tanah kerajaan dan pekebun kecil ini ditafsir "setinggan" walaupun mereka telah mengusahakan tanah tersebut untuk beberapa dekad!
Adakah Kementerian Pertanian sedar akan masalah ini dan apakah respon Kementerian untuk mengendalikan isu ini? Adakah masalah pekebun kecil ini terkandung dalam pelan induk pertanian Negara? Jika tak silap saya, Tahap Sara Diri dalam bekalan sayuran hanya 60% sahaja. Oleh itu adalah amat penting kegiatan pekebun kecil kita digalak dan dibantu. Mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam usaha menanam sayur dan boleh menyumbang pada jaminan bekalan makanan (Food Security) untuk rakyat kita.
Sekarang saya ingin sentuh Butiran 030600, Pembangunan Komoditi Ternakan. Pada masa ini wujudnya ramai orang penternak lembu dan kambing di pinggiran bandar-bandar kita. Mereka sering dijejas oleh pembangunan bandar-bandar di mana mereka kesukaran untuk mendapat padang ragut untuk ternakan mereka. Setiap tahun ada beberapa orang yang bersara "give-up" kerana tidak dapat meneruskan dengan aktiviti penternakan, dan mereka pergi cari kerja lain. Tetapi memandangkan bekalan daging lembu dan kambing hanya ditahap 30% keperluan dalaman negara kita, Kementerian Pertanian harus mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi oleh penternak kita.
Kita baru dengar bagaimana penternakan di projek-projek besar adalah amat tidak efisyen dan telah menelan banyak kewangan rakyat. Kita mempunyai ramai orang penternak yang betul-betul berpengalaman dan dengan sedikit galakan mereka boleh meningkatkan pengeluaran susu dan daging. Saya harap Kementerian Pertanian boleh meneliti perkara ini dan melaksanakan program untuk membantu golongan ini.
Akhirnya saya ingin menggesa pada kementerian Pertanian bahawa adalah jauh lebih baik untuk menggalak dan membantu 100 penternak kecil yang menternak 20 lembu seorang daripada memberi lesen dan pinjaman pada satu syarikat gergasi seperti Sime Darby untuk menternak 2,000 lembu. Kerana penternak kecil mempunyai pengalaman dalam industri ini dan akan hasilkan susu dan daging dengan kos yang lebih rendah. Dan juga, pendapatan daripada sektor ini akan dikongsi oleh lebih ramai orang jika kita menumpukan pada penternak kecil dan sederhana.
Saya berharap isu-isu yang saya telah bangkitkan akan diteliti dan ditangani oleh Kementerian Pertanian.
*Perbahasan Bajet Kementerian Pertanian di parlimen oleh Jeyakumar Deveraj (gambar atas) selaku ahli parlimen PSM, Sg. Siput.
Khamis, 10 November 2011
Jeyakumar: Bantu penternak dan petani kecil...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan