Mohd Rashidi Hassan |
16 September 2008 masih banyak diperkatakan. Ada yang percaya, ada yang tidak percaya. Barangkali ramai juga yang keliru mengenainya. 16 September bukan isu politik antara Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional semata-mata. Ia lebih besar dari itu. Ia merupakan hari ulang tahun pembentukan Malaysia yang mencakupi Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah. Manakala 31 Ogos adalah hari ulang tahun kemerdekaan Semenanjung daripada penjajahan British. Namun 16 September tidak pernah dijadikan cuti umum berbanding 31 Ogos. Hanya selepas diperjuangkan Pakatan Rakyat, barulah diisytihar tarikh tersebut sebagai cuti umum. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak harus berterima kasih kepada Pakatan Rakyat kerana lebih dahulu mengiktiraf mereka berbanding Umno-BN. Sudah tentu apabila menyentuh isu 16 September, subjek utama yang diperkatakan adalah Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ada rakan bertanya, mengapa hendak dibangkitkan perkara yang sudah tidak jadi. Tidak kurang juga ada pihak yang menghentam dan mengkritik Anwar, termasuk kalangan pemimpin BN yang mempermain-mainkan isu 16 Septemder. Pada hemat penulis, ianya wajar ditulis semula sebagai satu bahan rujukan penting dalam menganalisis kecenderungan ahli-ahli politik Malaysia, khususnya Ahli Parlimen (MP). Persoalan utama yang harus difikirkan adalah, apakah Anwar yang mencari MP BN ini aau mereka yang datang mencari Anwar? Apakah Anwar yang didakwa kemaruk dan gila kuasa ataupun mereka yang takut segala jawatan, kuasa, harta dan sebagainya akan lenyap jika Pakatan Rakyat menerajui negara. Selepas hampir tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum 2008, laman Wikileaks mula mendedahkan fakta-fakta mengenai mengenai kecenderungan besar MP BN untuk menyertai Pakatan Rakyat bagi menubuhkan kerajaan baru pada 16 September 2008. Isu ini timbul kembali apabila Wikileaks mendedahkan, ia mempunyai maklumat yang sahih mengenai rundingan beberapa pihak dalam BN, khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk keluar BN, masuk Pakatan Rakyat. Dalam satu laporan, ia memetik kata bekas Ketua Menteri Sabah, Dato' Salleh Tun Said Keruak, memberitahu pegawai kerajaan kedutaan Amerika Syarikat bahawa lebih dari separuh dari 25 Ahli Parlimen BN Sabah, sedia untuk meninggalkan BN. Malah kabel tersebut memperkukuhkan bukti, dalam banyak pertemuan pemimpin-pemimpin Umno-BN Sabah, antaranya pada 18 hingga 20 Jun 2008, yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak menyokong Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Bagaimanapun Salleh yang kini Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mendakwa laporan Wikileaks tersebut tidak berasas. Namun Salleh menyatakan, beliau ketika itu masih ingat pihak tertentu berusaha keras untuk memujuk MP Sabah, tetapi mereka gagal. Pada waktu itu (selepas PRU Mac 2008), semua orang kelam kabut dan terkejut. Pakatan Rakyat terkejut kerana tidak menjangkakan akan mendapat sokongan besar rakyat, manakala BN kelam kabut dan hampir meroyan apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen serta hilang kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor (selain Kelantan yang BN hilang kuasa sejak 1990). Habis semua tersentak. Terutamanya MP BN yang faham 'pencak silat' politik. Mereka tahu dan sangat-sangat sedar bahawa Pakatan Rakyat adalah suatu force yang amat besar. Mereka memahami soal ini, sekaligus dengan beberapa petunjuk politik yang jelas menunjukkan kerajaan BN sudah hampir dipenghujung hayat. Justeru selaku ahli-ahli politik yang sedar, mereka tidak ada pilihan lain. Mereka tahu jika mahu terus berpolitik, Pakatan Rakyat adalah future platform, bukannya BN. BN hanya tinggal 140 kerusi, manakala Pakatan Rakyat menang 82 kerusi. Pakatan Rakyat hanya perlu 30 kerusi untuk mendapatkan simple majority. Jika Wikileaks mendedahkan separuh dari 25 MP BN Sabah sudah sedia untuk menyeberang, selebihnya dari mana? Saya percaya, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Razak dan juak-juak di sekelilingnya tahu apa yang saya maksudkan. Selain Sabah, wakil-wakil BN dari Sarawak, komponen BN di Semenanjung, malah MP Umno juga turut sama berminat untuk menyeberang. Jika fakta ini betul, soalnya berapa orang yang hendak menyeberang ke Pakatan Rakyat? Siapa yang hendak defect? Ataupun harus juga dipersoalkan mengapa mereka tidak menyeberang? Sebelum Wikileaks membuat pendedahan lebih menggemparkan, elok juga dianalisis isu 16 September ini dengan lebih mendalam. Persoalan pertama adalah jumlah. Daripada pengamatan saya, lebih 40 orang MP BN yang cenderung kepada Pakatan Rakyat. Hal ini disedari dan pernah diperkatakan oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis di London, semasa isu ini hangat diperkatakan. Nama mereka tidak perlu didedahkan. Mereka daripada Sabah, Sarawak, Semenanjung. Terdiri daripada kalangan pemimpin utama dan bekas pemimpin utama parti komponen BN. Lebih mengejutkan ada kalangan mereka Menteri, Timbalan Menteri dan MP biasa. Mereka-mereka ini mengadakan perundingan dengan Anwar di beberapa tempat. Dalam dan luar negara. Antaranya di Singapura, Hong Kong, Bangkok dan beberapa tempat lain. Malah ada yang berani berjumpa secara terbuka di beberapa tempat dalam negara. Saya teringat kata seorang Timbalan Menteri kepada seorang pemimpin utama Pakatan Rakyat di Parlimen. Beliau mengatakan, "Jika Pakatan Rakyat sudah mempunyai 29 orang MP, you masukkan nama I untuk cukupkan 30 orang." Pada ketika itu Pakatan Rakyat sudah boleh menubuhkan kerajaan. Tetapi disekatn dengan serangan siang malam terhadap Anwar dan tuduhan liwat kedua yang dihadapkan kepada beliau oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan. Dakwaan liwat terhadap Anwar dibuat pada 28 Jun 2008. Tetapi plot untuk mengenakan beliau sudah dirancang lebih awal. Plot ini diberitahu oleh seorang bekas Menteri yang paling berpengaruh kepada Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa sekitar April 2008. Kata beliau kepada Husam ketika itu,"Tidak ada jalan lain untuk menyekat kemaraan Anwar. Jika Umno-BN mahu kekal berkuasa, Anwar harus dikenakan tuduhan liwat (kali kedua) dan Anwar harus disumbat dalam penjara." Jelas daripada kata-kata pemimpin ini. Plot atau konspirasi untuk mengenakan Anwar sudah dirancang berbulan lebih awal daripada dakwaan dibuat oleh Saiful? Soalnya Mengapa Saiful terbabit? Saya tidak mahu mengulas lanjut hal perbicaraan dalam mahkamah. Tetapi yang jelas, apabila tuduhan seorang itu meliwat seseorang, ia harus dibuktikan secara klinikal. Secara klinikal, kes ini tidak harus wujud, kerana doktor pertama yang memeriksa Saiful selepas dakwaan meliwat dibuat, secara konsisten mengatakan, tiada kesan tusukan di dubur Saiful. Logiknya, jika dubur Saiful tidak ditusuk, mana mungkin kejadian liwat berlaku. Kes ini tidak seharusnya wujud, tiada bukti kukuh dan kes ini harus dibuang. Berbalik kepada Saiful. Mengapa beliau terlibat dan apa pembabitannya dengan 16 September? Mengapa Najib menemuinya pada 24 Jun 2008, dua hari sebelum kejadian liwat didakwa berlaku atau empat hari sebelum laporan polis terhadap Anwar dibuat? Hakikatnya ialah ,Saiful bertugas mengikuti majikannya (Anwar) dan merekod banyak pertemuan Anwar dengan pemimpin-pemimpin Umno-BN di banyak tempat. Dalam dan luar negara. Secara tidak langsungnya, nama, lokasi dan butiran pertemuan diadakan, ada dalam pengetahuan Saiful. Oleh itu Najib tidak boleh kata (pada 24 Jun), bahawa beliau tahu Anwar akan meliwat Saiful pada 26 Jun, kerana pada tarikh beliau menemui Saiful, kejadian belum lagi berlaku. Najib harus tahu dan sepatutnya sudah diberitahu Saiful tentang butiran pertemuan Anwar dengan MP-MP Umno-BN. Walaupun mungkin semua perundingan tidak diketahui Saiful, tetapi dipercayai sebahagian daripada nama-nama pemimpin berkenaan, ada pada pengetahuan Saiful. Justeru, jika hendak diperincikan lebih ramai yang berhasrat hendak meninggalkan BN. Tetapi hasrat dan usaha mereka tersekat apabila Anwar dikenakan pertuduhan kedua. Dalam keadaan kuasa penuh menguasai polis dan kehakiman ada pada tangan PM, maka kedudukan Anwar pada ketika itu tidak kukuh jika mereka hendak berhijrah ke Pakatan Rakyat. Lagipun kebanyakan MP ini banyak kepentingan yang hendak mereka lindungi. Mereka tidak sanggup mengambil risiko. Mereka tidak mahu gamble. Umno-BN tiada pilihan lain untuk terus berkuasa selain terpaksa 'memenjarakan' Anwar. Jika Anwar masuk ke 'dalam' Umno-BN berharap, Pakatan Rakyat akan berpecah. Walaupun rencana 16 Septembert 2008 gagal diteruskan. Ia tidak berjaya memperkukuhkan BN, jauh sekali untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat. Hasrat 16 September akan tetap diteruskan. Bukan semata-mata untuk menantikan penghijrahan MP BN, tetapi ia akan dirayakan dalam erti kata kemerdekaan yang sebenar bersama seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, tanpa ada perasaan rasis dan diskriminasi. |
Jumaat, 16 September 2011
Tuduhan liwat dan kaitannya dengan 16 September
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan