Isnin, 19 September 2011

Titiwangsa: Umno pilih calon tempatan atau luar?

Bekas ahli parlimen Titiwangsa Datuk Astaman Aziz ketika dihubungi berkata, "memang Datuk Jo (panggilan untuk Johari" calon paling sesuai untuk Titiwangsa.



PETALING JAYA: Usahawan Datuk Johari Ghani disebut sebagai calon BN bagi Parlimen Titiwangsa dalam pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, pemangku ketua Umno bahagian itu terpaksa bersaing dengan beberapa calon luar yang dikatakan turut berminat dengan kerusi parlimen itu.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Mashitah Ibrahim.

BN kehilangan kerusi parlimen Titiwangsa kepada PAS apabila Datuk Jamaluddin Aziz Tahir kepada Dr Lo’lo’ Ghazali dalam pilihan raya umum 2008.

Bekas ahli parlimen Titiwangsa Datuk Astaman Aziz ketika dihubungi berkata, “memang Datuk Jo (panggilan untuk Johari” calon paling sesuai untuk Titiwangsa.

“Tetapi saya dengar ada beberapa orang lagi yang mengintai untuk bertanding di Titiwangsa. Antaranya Datuk Jamil Khir dan Datuk Mashitah,” kata Astaman ahli parlimen Titiwangsa pada 2004.

Johari memangku jawatan ketua bahagian Titiwangsa setelah Datuk Dr Sulaiman Mohamed meletak jawatan awal tahun ini.

Tolak calon luar

Mesyuarat Umno bahagian Titiwangsa pada 2007 memutuskan menolak calon luar dan mahukan anak tempatan untuk pilihan raya umum 2008.

Berikutan itu, Astaman digugurkan dan digantikan dengan Aziz Jamaluddin, bekas pengerusi masjid Kampung Baru dalam parlimen Titiwangsa.

Bagaimanapun, menurut sumber lain bekas ahli parlimen Titiwangsa, Datuk Drs Suleiman Mohamad dikatakan mahu anak lelakinya menjadi calon BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sebenarnya Umno Titiwangsa tidak pernah bersatu padu kerana banyak sangat yang mahu ke depan atas kepentingan tertentu.

“Ia akan berterusan dalam pilihan raya umum akan datang,” tegasnya.

Johari pula ketika dihubungi enggan mengulas kemungkinan beliau menjadi calon pilihan untuk bertanding di Titiwangsa.

Tiada ulasan: