Rabu, 7 September 2011

‘Tidak benar saya diserang sakit jantung’ -MB

Oleh al_madd

Ramai kalangan rakyat yang risaukan tahap kesihatan Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sejak beliau menerima rawatan selama dua minggu di Institut Jantung Negara (IJN).

Bagi memuaskan hati semua pihak yang bertanya, Menteri Besar itu menegaskan status kesihatannya berada dalam keadaan stabil dan memuaskan.

Menurutnya, sejak keluar dari IJN beliau sudah menjalankan tugas termasuklah mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco dan menghadiri beberapa majlis.

“Saya bersyukur masih lagi sihat dapat menjalankan tugas dan memberi khidmat kepada negeri Kedah. Dan hari ini kali ke tiga keluar berjumpa orang ramai. Pertama Jumaat lepas melawat jenazah, semalam di rumah saya Sungai Limau, ribuan rakyat datang. Hari ini di kediaman rasmi MB anjuran kerajaan negeri mengadakan jamuan hari raya,” katanya kepada media di Rumah Terbuka Aidilfitri 2011 YAB Menteri Besar Kedah Darul Aman di Seri Mentaloon.

Tempoh hari beliau dimasukkan ke IJN selama dua minggu bagi menerima rawatan dan pemeriksaan penuh termasuklah darah, jantung dan buah pinggang.

“Saya nak buat pembetulan. Saya di IJN bukan sakit jantung. Regular medical checkup, empat bulan kena buat pemeriksaan doktor, air kencing, tekanan jantung. Hari itu macam biasa. Hari Khamis saya sambut Dato’ Najib di airport Kepala Batas Perdana Menteri Malaysia lawat Kedah. Esoknya saya pi IJN ikut tarikh perjanjian lama. Appointment dah buat lama. Masa tu dia cek darah, penat sikit maka dia buat pemeriksaan semua. Dapatlah dua perkara atasi segera. Tak ada serangan jantung. Dia nasihat saya banyak rehat dan kurangkan gula dalam makanan,” katanya menafikan laporan akhbar yang beliau terkena serangan jantung.

Beliau juga memberitahu pernah menjalani pembedahan ‘bypass’ lima saluran pada tahun 2005 dan selepas itu kesihatannya bertambah baik sehingga berjaya menawan Kedah dalam pilihanraya tahun 2008.

“Tapi berita saya diserang jantung adalah tak betul. Yang sekarang saya yang serang jantung. Jantung lembu makanan masa raya,” guraunya kepada media.

Tiada ulasan: