Khamis, 1 September 2011

Remajaku, perbuatlah sesuka hatimu jika kamu tidak malu


komuter


Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya): ”Kalau kamu sudah tidak punya malu lagi, lakukanlah apa yang kamu kehendaki.” (Riwayat Bukhari)


Remajaku, hadis ini dijadikan pembuka bicara apabila hati ini kepedihan melihat keadaan remaja hari ini.

Baru-baru ini dalam Buletin TV3, ada disiarkan bagaimana di Damansara Damai, para remaja yang melakukan maksiat telah diangkut dengan kereta jenazah. Ketika operasi dijalankan sepasang remaja ditangkap di hotel murah. Kejadian berlaku pada bulan Ramadan yang mulia. Salah satu sebab penggunaan kereta jenazah ini adalah kerana mahu para remaja yang terlibat sedar bahawa setiap insan akan menemui kematian dan akan diperhitungkan segala amalan.

Apabila diimbas kembali, ketika naik tren ke tempat kerja atau membeli belah di pasar raya hatta singgah sahaja di Pasar Ramadan mana-manapun, akan terlihatlah aksi-aksi remaja yang tidak segan silu berpeluk-pelukan dengan pasangan masing-masing, bergurau senda lelaki dan perempuan bukan mahram, berpakaian ketat dan menjolok mata serta menunggang motor berpeluk-pelukan tanpa malu dan segan.

Hati ingin sekali bersangka baik memandangkan ia berlaku pada bulan Ramadan dan barangkali mereka itu suami isteri atau adik-beradik. Namun, kerap kali sangkaan itu tersasar. Yang ditemui terlalu muda untuk dikatakan suami isteri dan terlalu mesra untuk dikategori sebagai adik-beradik.

Teringat satu peristiwa yang baru sahaja berlaku di hadapan saya pada penghujung Ramadan lalu, seorang remaja lelaki yang kelihatan sihat dan kuat menyuapkan makanan ke dalam mulut di hadapan saya ketika saya singgah membeli makanan digerainya. Ibu yang malu terus menegur, ”Isy kamu ni, kalau tak puasa pun janganlah makan depan orang.” Ketika itu saya terasa ingin berlalu. Rasa tidak patut membeli hasil jualan seorang yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadan, namun ia pasti akan mencalarkan akhlak saya dan mengguris perasaan ibu yang tidak bersalah.

Apabila diamati, kita dapati remaja kita seakan-akan tidak malu melakukan perbuatan sumbang dan dosa serta melanggar perintah Allah, tetapi malu pula dalam melakukan kebaikan seperti menutup aurat, beriktikaf di masjid, menjaga akhlak kerana bimbang dikatakan skema dan pelbagai karenah yang tidak sesuai untuk remaja Muslim.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sendiri amat pemalu orangnya, hingga terdapat hadis yang menceritakan perihal ini.

Dalam hadis riwayat Abu Said Al-Khudri radiallahuanhu, beliau berkata:

”Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lebih pemalu daripada seorang gadis perawan di dalam kamarnya. Jika beliau tidak menyukai sesuatu kami dapat mengetahui daripada raut wajahnya."

(Sahih Muslim)

Sekalipun terkadang kita tidak berasa malu sesama manusia, kita mestilah berasa malu terhadap Allah subhanahu wataala.

Remajaku, sifat malu membantu kita menjaga iman. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):

"Malu adalah sebagian dari iman."

(Riwayat Ibnu Umar radiallahuanhu).

Selain daripada itu, kita mesti faham bahawa sifat malu diperlukan kerana ia mengandungi banyak kebaikan. Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah bersabda yang bermaksud:

"Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan."

(Sahih Muslim)

Abu Waqid al-Laitsi pula mengatakan bahawa ketika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam duduk di masjid bersama orang ramai, tiba-tiba datang tiga orang, yang mana dua orang menghadap kepada Nabi sallallahu alaihi wasallam dan seorang (lagi) pergi. Dua orang itu berhenti dekat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, yang seorang duduk di belakang mereka, dan yang ketiga berpaling pergi. Ketika Rasulullah sallallahu alaihi wasallam selesai, beliau bersabda, "Mahukah saya beritakan kamu tentang tiga orang? Iaitu, salah seorang di antara mereka berlindung kepada Allah, maka Allah melindunginya; yang seorang lagi malu, maka Allah malu terhadapnya; dan yang lain lagi berpaling, maka Allah berpaling daripadanya."

Remajaku, bagi memantapkan lagi perasaan malu kita pada Allah dan Rasul, dikongsikan mutiara hadis oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

"Malulah kepada Allah dengan sebenar-benar malu." Para sahabat menjawab: "Kami memang malu kepada Allah, wahai Rasulullah, alhamdulillah."

Baginda berbicara lagi: "Bukan itu yang aku maksudkan. Malu kepada Allah dengan sebanar-benar malu ialah: Engkau memelihara kepala dan apa yang difikirkan, engkau memelihara perut dan apa yang diisikan ke dalamnya, engkau mengingati mati dan segala kehancurannya. Dan barangsiapa yang inginkan akhirat, dia tinggalkan perhiasan kehidupan, dan dia utamakan akhirat daripada dunia. Barangsiapa yang melakukan sedemikian barulah dikatakan dia malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu."

Remajaku, kita mesti malu dengan Allah untuk melakukan maksiat di atas buminya melainkan kita ada bumi atau dunia lain untuk tinggal. Jika kita ada bumi, udara, lautan, langit, segala hidupan, kemudahan dan kesenangan selain daripada yang dimiliki Allah, maka tidak perlu lagi kita berasa malu. Perbuatlah sesuka hati.

Selagi yang kita miliki adalah milik Allah, selagi itu kita akan diperhitungkan dengan apa kita habiskan apabila kita dibangunkan di akhirat kelak. Kita pasti tidak berdaya untuk menanggung azab pedih Allah!

Selain daripada itu, remajaku, malulah dengan ibu bapa. Berfikirlah sebaik-baiknya sebelum melakukan sesuatu. Patutkah kita sewenang-wenangnya melakukan dosa dan maksiat sesuka hati kita tanpa menghiraukan perasaan ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan kita?

Ingatlah sebagai remaja kita membawa nama baik keluarga. Jika kita dengan mudahnya melakukan apa sahaja tanpa segan dan silu kelak nama dan maruah keluarga akan tercalar. Bukan mudah untuk membersihkan nama baik yang tercalar. Bukan sahaja diri kita yang akan dihina, malahan keluarga akan menanggung malu kesan perbuatan kita. Biasanya masyarakat membuat andaian bahawa anak yang baik adalah hasil didikan yang baik oleh keluarga manakala jika kita melakukan hal yang tidak elok, kita akan dianggap tidak dididik dengan baik oleh ibu bapa.

Remajaku, akhir sekali jangan dilupa kesan setiap perbuatan burukmu kepada adik-beradik, guru, rakan-rakan dan masyarakat keseluruhannya. Kita adalah pemimpin masa depan, maka jadikanlah malu sebagai benteng dan pakaian seharian kita.

Tiada ulasan: