Roketkini.com
KUALA LUMPUR – DAP yakin akan dapat menarik ramai tokoh dan pemimpin akar umbi dari kalangan orang Melayu termasuk para blogger untuk menyertai parti.
Ketua Pemuda DAP Anthony Loke berkata pengumuman mengenai penyertaan beberapa pakar akademik dan blogger akan dibuat tidak lama lagi.
“Sudah ada perbincangan awal dan mereka juga sudah menunjukkan perkembangan positif untuk menyertai DAP. Kami berharap kemasukan mereka akan memberi semangat untuk lebih ramai menyertai DAP,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.
Beliau menjelaskan bahawa bukan DAP sahaja yang aktif menarik penyertaan kaum Melayu, malah orang Melayu dan Bumiputera sendiri melahirkan hasrat untuk menyertai DAP yang telah berusia 45 tahun itu.
“Kami mengundang mereka yang boleh memberi tenaga kepada perkembanagn DAP daripada kalangan orang Melayu, dan di Sarawak Dayak… ini merupakan dua etnik khusus, yang DAP beri perhatian buat masa sekarang,” katanya lagi dalam wawancara itu.
Loke gembira kerana walau pun musuh politik terutamanya UMNO dan kumpulan-kumpulan perkauman telah menuduh DAP sebagai parti kaum Cina, parti cauvinis dan komunis, ia tidak menghalang orang Melayu dan Bumiputera yang mengetahui keadaan sebenar untuk menyertai DAP.
“Kami sentiasa berjuang sebagai sebuah parti rakyat Malaysia… perkara ini sudah mula disedari oleh orang Melayu sendiri.
“Saya fikir bahawa sudah sampai masanya, DAP, kita berharap yang ini akan menjadi satu usaha berterusan terutama dengan kemasukan golongan cendekiawan Melayu… masuk ke dalam DAP, kami berharap proses ini akan menguatkan, dan memberi satu suntikan baru ke dalam DAP,” katanya.
Bulan lalu, tokoh akademik dan pakar sejarah budaya orang Melayu, Prof Dr Ariffin Omar telah menyertai DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan